PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan sekurang-kurangnya 80 peratus pemegang polisi hanya menghadapi pelarasan premium tahunan yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan sebanyak kurang daripada 10 peratus sehingga akhir 2026.
Menurut Utusan Malsysia, jaminan itu antara empat langkah interim dipersetujui dengan industri insurans dan takaful untuk membantu pemegang polisi yang mengalami perubahan pada premium produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) mereka yang akan dilaksanakan sehingga akhir 2026.
Menurut bank pusat, bagi pemegang polisi yang berumur 60 tahun ke atas dan dilindungi di bawah pelan minimum bagi produk MHIT yang dibeli, penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) akan menangguhkan pelarasan premium selama satu tahun dari ulang tahun polisi mereka.
Katanya, langkah interim ini tidak terpakai pada kenaikan premium yang boleh dikenakan apabila pemegang polisi beralih ke kategori umur yang lebih tinggi dan hal ini akan diuruskan secara berasingan oleh ITO.
“Pemegang polisi yang menyerahkan polisi atau polisi MHIT luput pada 2024 disebabkan oleh penetapan semula premium ini, boleh menghubungi ITO masing-masing untuk memohon polisi diaktifkan semula berdasarkan premium yang dilaraskan menerusi langkah ini, tanpa keperluan pengunderaitan tambahan.
“Semua ITO akan menyediakan produk MHIT alternatif bersesuaian pada premium sama atau lebih rendah bagi pemegang polisi yang tidak berminat untuk meneruskan pelan MHIT mereka yang sedia ada dan yang premiumnya telah ditetapkan semula.
“ITO yang tidak menyediakan produk alternatif sesuai pada masa ini, hendaklah menawarkan produk tersebut kepada pemegang polisi selewat-lewatnya penghujung 2025.
“Pertukaran kepada produk MHIT alternatif tidak akan memerlukan sebarang pengunderaitan tambahan atau melibatkan apa-apa kos pertukaran. Langkah ini, bersama-sama dengan pembaharuan lain bagi membendung inflasi kos perubatan, akan mengelakkan pelarasan premium yang tinggi pada masa hadapan,” demikian menurut kenyataan.
Utusan Malaysia pada 26 November lalu melaporkan polisi insurans perubatan makin membebankan apabila ia dijangka naik antara 40 hingga 70 peratus tahun depan.
Ini berdasarkan notis dihantar para penanggung polisi kepada pengguna memaklumkan mengenai kenaikan premium itu, atas alasan ialah kos perubatan hospital swasta makin mahal.
BNM mengakui kos penjagaan kesihatan meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun lalu dengan inflasi kos perubatan mencecah 15 peratus pada tahun ini, lebih tinggi daripada purata global dan purata Asia Pasifik iaitu 10 peratus.
Peningkatan didorong pelbagai faktor seperti kemajuan teknologi perubatan, peningkatan penyakit tidak berjangkit yang meningkatnya permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan.
“Kesannya tuntutan dibayar ITO meningkat lebih pantas berbanding premium dikumpulkan.
“Meskipun ITO memperuntukkan rizab menampung peningkatan pembayaran tuntutan perubatan tidak dijangka, rizab ini tidak mencukupi sekiranya kos tuntutan terus melebihi anggaran.
“Justeru, premium produk MHIT perlu dilaras secara berkala bagi memastikan tuntutan pemegang polisi dapat terus dipenuhi,” katanya.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, semua pihak berkepentingan perlu menangani punca utama kenaikan premium insurans dan takaful perubatan dan kesihatan yang didorong kos perubatan dan penggunaan perkhidmatan perubatan yang lebih tinggi.
Malah produk MHIT juga perlu ditambah baik untuk menjadikan produk tersebut lebih mampan dan selaras dengan penjagaan kesihatan berasaskan nilai yang mengutamakan hasil kesihatan lebih baik.
“Hal ini merupakan cabaran rumit yang memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak berkepentingan dalam ekosistem penjagaan kesihatan. Langkah-langkah interim yang kami umumkan akan memberikan sokongan sementara kepada pemegang polisi.
“Namun, pembaharuan kesihatan lebih meluas perlu dipercepat berserta komitmen untuk mencapai hasil yang jelas bagi tahun-tahun akan datang. Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan berkaitan termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, hospital swasta dan ITO.
“Semua pihak memberi sokongan dan komited bagi mendapat penyelesaian jangka panjang menangani isu rumit ini,” katanya.
BNM menambah, kerajaan bersama-sama dengan ITO dan hospital swasta akan memberikan sumbangan RM60 juta untuk mempercepat pembaharuan kesihatan, termasuk pelaksanaan model pembayaran Diagnosis-Related Group dan penyiaran kos prosedur perubatan lazim bagi meningkatkan ketelusan.
“Selain itu, sebahagian daripada dana ini juga akan digunakan untuk menyokong pembangunan produk asas MHIT meliputi keperluan penjagaan kesihatan penting dan memudahkan pemegang polisi berumur 60 tahun ke atas membuat pertukaran kepada produk asas baharu apabila ditawarkan.
“BNM dan semua pihak berkepentingan komited mengukuhkan kerjasama dalam usaha mengawal inflasi kos perubatan dengan berkesan.
“Usaha ini termasuk pemakluman yang lebih telus tentang harga ubat-ubatan, kemajuan usaha pendigitalan bagi membolehkan perkongsian rekod perubatan elektronik yang akan mengurangkan keperluan pesakit menjalani ujian sama berulang kali dan pembelian secara strategik oleh sektor swasta dan awam bagi mengurangkan kos,” katanya.
































