Ardino Diris
KOTA KINABALU: Kenyataan Ketua Wanita STARSABAH yang tular pada 18 Disember 2024 bertajuk “Jeffrey Mendapat Sokongan Padu Jadi KM Sabah Ketika GRS Hadapi Saat Gentir” adalah pandangan peribadi beliau dan bukan merupakan kenyataan rasmi STARSABAH.
Timbalan Ketua Penerangan STARSABAH merangkap Ketua Bahagian STARSABAH N.6 Bandau, Ardino Diris ketika dihubungi menegaskan bahawa isu mengenai siapa yang sepatutnya diangkat menjadi Ketua Menteri di tengah-tengah situasi politik Sabah yang tidak menentu ketika ini tidak wajar dibangkitkan.
Beliau menekankan bahawa semua pihak perlu teguh menyokong Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Menurut Ardino, Presiden STARSABAH, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan telah beberapa kali menyatakan sokongan penuh terhadap Ketua Menteri. Dalam kenyataannya kepada Harian Express bertarikh 14 Disember 2024, Dr. Jeffrey juga menafikan sebarang penglibatan dalam konspirasi terhadap Ketua Menteri.
“Saya yakin bahawa Presiden STARSABAH mempunyai pandangan yang jauh untuk kesejahteraan rakyat Sabah dan akan terus bekerjasama dengan Ketua Menteri dalam menerajui Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah. Usaha ini bertujuan memastikan hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan dapat dicapai sepenuhnya,” tambah Ardino.






























