Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim (tengah) berkenan bergambar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan Yang Dipertua Negeri Sabah yang baharu Tun Musa Aman selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 di Istana Negara. – FB Musa Aman
KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Musa Aman di atas pelantikan beliau sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah mengucapkan tahniah sebelum memulakan persidangan hari ini.
Beliau berkata, kesemua Ahli Dewan berharap pelantikan itu dapat membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada penduduk Sabah.
“Kita juga ucapkan selamat berkhidmat kepada beliau,” katanya.
Semalam, Musa, 73, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2028.
Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.






























