Mohamad Aniq Kasdan
PETALING JAYA: Pencapaian badang negara, Mohamad Aniq Kasdan merangkul dua pingat perak pada Kejohanan Dunia Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) di Manama, Bahrain, kelmarin membuktikan dia mampu menjadi juara dunia suatu hari nanti.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu diakui Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat yang berbangga dengan pencapaian atlet berusia 22 tahun itu menamatkan kempen tahun 2024 dengan gemilang.
Menurut beliau, prestasi anak jati Segamat, Johor itu semakin memberangsangkan sekali gus mampu meraih gelaran dunia buat kali pertama untuk Malaysia.
“Pendapat saya, mengangkat berat sekitar 297 kilogram (kg) adalah sesuatu yang Aniq mampu capai. Namun sekiranya dia melepasi 300kg itu sesuatu yang luar biasa.
“Rekod angkatan Aniq termasuk pencapaiannya pada kejohanan dunia tahun ini sangat luar biasa kerana kita tidak pernah melihat berat sebegitu rupa dalam sukan angkat berat Malaysia sebelum ini,” kata Ayub kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa yang sama, Ayub menambah, Aniq bukan sahaja berada di landasan yang betul untuk menjadi juara dunia, namun di Sukan Olimpik Los Angeles (LA 2028) beliau juga mampu menjelmakan pingat.
“Pencapaian Aniq tidak pernah dicapai oleh atlet angkat berat negara yang lain. Kami menaruh harapan yang tinggi untuknya, bukan sahaja di kejohanan dunia tetapi juga di Olimpik.
“Untuk mencapai tahap tertinggi sebegini, beliau harus meletakkan usaha 100 peratus dan melakukan pengorbanan yang tidak terkira banyaknya,” katanya.
Kelmarin, Aniq memperoleh pingat perak pertama menerusi acara clean and jerk dengan angkatan seberat 166kg sebelum meraih perak kedua dengan jumlah angkatan 296kg pada kejohanan berkenaan.
Untuk rekod, Aniq menjadi atlet kebangsaan pertama meraih pingat di Kejohanan Dunia IWF apabila membawa pulang perak dalam acara clean and jerk di Tashkent, Uzbekistan.

































