Ruben Amorim
MANCHESTER: Pengendali Manchester United, Ruben Amorim mengakui pasukannya ketika ini berdepan cabaran untuk kembali dihormati selepas tewas 3-2 kepada Nottingham Forest dalam saingan Liga Perdana Inggeris, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, dalam aksi di Old Trafford itu, Rasmus Hojlund memadamkan gol awal Nikola Milenkovic tetapi Morgan Gibbs-White dan Chris Wood meletakkan pelawat di depan biarpun Bruno Fernandes berjaya merapatkan kedudukan.
Kemenangan itu merupakan yang pertama buat Forest di Old Trafford sejak 1994, membolehkan mereka melonjak ke tangga kelima carta liga manakala United terdampar di tangga ke-13.
Amorim bermula positif dalam kariernya sebagai pengurus United selepas menggantikan Erik Ten Hag yang dipecat bulan lalu, seri sekali dan menang dua daripada tiga aksi pertamanya.
Bagaimanapun, pengendali dari Portugal itu memberi amaran badai akan melanda buat kelab bermasalah itu yang mengharungi permulaan terburuk musim ini.
Realiti kini mula terserlah selepas kekalahan 2-0 di Arsenal pada pertengahan minggu diikuti kekalahan semalam di gelanggang sendiri.
“Perlawanan sukar dalam detik sukar tetapi kami perlu meneruskan tugas. Ia satu perjalanan panjang. Kami meningkat dalam beberapa aspek. Kami perlu menang perlawanan untuk membantu kami meningkatkan prestasi pasukan dan terus dihormati,” kata Amorim.
Dalam aksi menentang Forest, United sekali lagi dihampakan oleh taktikal sepakan sudut selepas Milenkovic menanduk masuk menerusi sepakan penjuru Elliot Anderson pada minit kedua selepas melompat mengatasi Lisandro Martinez.
United bangkit dan menyamakan kedudukan pada minit ke-18 dengan Hojlund menampan masuk selepas percubaan Alejandro Garnacho daripada hantaran Manuel Ugarte yang dihalang penjaga gol Forest, Matz Sels.
Bagaiamanapun, Forest sekali lagi bermula cemerlang pada babak kedua ketika Fernandes kehilangan bola kepada Callum Hudson-Odoi dan dia menemui Gibbs-White yang merembat leret dari jarak 20 meter melepasi Andre Onana.
Pemain antarabangsa New Zealand, Wood menyambut hantaran silang Gibbs-White pada minit ke-54 dengan tandukan yang melepasi garisan gol ketika Matthijs de Ligt, Onana dan Martinez semuanya gagal menyelamatkan keadaan.
United membalas satu gol selepas sejam apabila Amad Diallo mempamerkan kemahiran tinggi selepas meluru di sayap kanan sebelum mengumpan semula kepada Fernandes, yang menewaskan Sels dari penjuru kotak penalti.
































