Mohamed Salah
LONDON: Liverpool dilaporkan bersetuju untuk menyambung kontrak penyerang utama kelab itu Mohamed Salah selama dua tahun.
Menurut Utusan Malaysia, sebelum ini, banyak spekulasi mengenai masa depan pemain sayap itu, selepas kontraknya akan berakhir pada hujung Jun depan.
Seperti dilapor The Mirror, Salah kini semakin hampir menandatangani kontrak baharu selama dua tahun untuk kekal di Anfield.
Ejen Salah, Ramy Abbas memberitahu Liverpool beliau mahukan kontrak tiga tahun, dengan Fenway Sports Group pada awalnya hanya bersedia untuk menawarkannya sambungan setahun.
Bagaimanapun persetujuan kini dicapai dengan pemain berusia 32 tahun terbabit akan terus beraksi di kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu untuk tempoh dua tahun lagi.
Salah kini menerima gaji sekitar 400,000 pound (RM2.25 juta) seminggu di Anfield dengan wang bukan menjadi persoalan mengenai masa depannya.
Difahamkan, Liverpool juga mahu mengikat Virgil Van Dijk dan Trent Alexander-Arnold dengan menawarkan kontrak baharu, ketika kedua-duanya turut berada dalam tahun terakhir kontrak semasa mereka.
Salah kekal pemain tonggak utama buat Liverpool selepas bintang Mesir itu menjaringkan 13 gol dan membuat lapan umpanan gol dalam 14 perlawanan EPL musim ini.
Secara keseluruhan, Salah sudah mengumpul 226 gol dalam 370 perlawanan bersama Liverpool.
Dia memenangi kejuaraan EPL, Liga Juara-Juara, Piala FA dan dua Piala Liga sepanjang beraksi dengan kelab itu.
Berita positif mengenai Salah pasti mengujakan buat bos Arne Slot, dengan pasukannya kini menghuni tangga teratas EPL selain pengendali Belanda itu juga tanpa berselindung mahukan khidmat Salah.
“Beliau seorang pemain yang hebat dan sentiasa ada ketika pasukan memerlukan khidmatnya dalam mana-mana perlawanan. Itu merupakan keistimewaan Salah,” kata Slot.
Sebelum ini, Salah pernah memberi bayangan akan meninggalkan The Reds selepas kecewa dengan pengurusan kelab yang membisu tentang kontraknya.


































