Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang membantu seorang warga emas yang disengat tebuan semasa berada dirumahnya di Kampung Bagus, Rantau Panjang, Kelantan kelmarin. – Ihsan Bomba
RANTAU PANJANG: Seorang warga emas terpaksa meminta bantuan anggota bomba untuk membawanya ke klinik berdekatan selepas disengat seekor tebuan semasa berada dirumahnya di Kampung Bagus, di sini kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, lelaki berusia lingkungan 65 itu terpaksa berbuat demikian selepas kawasan rumahnya dan laluan keluar dari kampung itu masih ditenggelami banjir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Penolong Penguasa Bomba Sapawi Setapa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.24 petang.
Menurutnya, seramai empat anggota bersama sebuah trak telah ke lokasi untuk tugas membantu dan menyelamat mangsa.
“Peringkat awalnya, kita gunakan trak kerana air mulai surut. Sejurus tiba dilokasi pihak kami terpaksa menggunakan bot penduduk kampung untuk membawa keluar mangsa.
“Hal ini kerana kawasan rumahnya masih ditenggelami banjir selain laluan masuk tidak sesuai untuk trak,” katanya ketika dihubungi di sini malam tadi.
Sapawi memberitahu, mangsa kemudian telah dihantar ke Klinik Gual Tinggi untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, mangsa tidak berpindah kerana rumahnya bina tinggi daripada paras air.