Dr. Joachim (kiri) dan Dr. Jeffrey berjabat tangan sambil diperhatikan oleh Ahli-ahli JLC.
PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) melangkah maju dengan perancangan dan strategi yang jelas melalui kerjasama politik mereka untuk mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.
Dalam mesyuarat Majlis Kepimpinan Bersama (JLC) kedua yang diadakan hari ini di ibu pejabat STARSABAH, mereka membincangkan keperluan untuk mempergiat persiapan pilihan raya negeri dan mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi.
Antara perkara utama yang dibincangkan adalah keperluan memperkukuh kerjasama di peringkat akar umbi pada peringkat bahagian dan menubuhkan jentera pilihan raya.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Presiden STARSABAH, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan optimis bahawa kerjasama politik antara kedua-dua parti itu akan menjadikan mereka satu kuasa yang sukar digugat.
JLC turut bersetuju untuk merangka manifesto bersama yang mencerminkan visi PBS dan STARSABAH yang sehaluan, selaras dengan manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
PBS dan STARSABAH menegaskan komitmen mereka untuk memastikan kerjasama ini dapat membantu menyumbang kepada kemenangan besar GRS dalam Pilihan Raya Negeri.