Man Wei Chong-Tee Kai Wun antara pasangan yang diberikan perhatian dalam usaha memperkasakan pasukan beregu badminton negara.
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen menetapkan misi untuk ‘membentuk semula’ kesemua pasangan lelaki kem badminton menjelang musim 2025.
Menurut Utusan Malaysia, walaupun beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mengalami penurunan prestasi selepas Sukan Olimpik Paris 2024, namun keutamaannya memastikan pasangan seperti Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Choong Hon Jian-Haikal Nazri dan Arif Junaidi-Yap Roy King mencapai tahap yang konsisten.
“Secara keseluruhan, kita melihat bahawa menjelang akhir musim, semua pasangan itu menunjukkan penurunan prestasi yang ketara. Saya telah membincangkan perkara ini dengan mereka dan kami perlu menetapkan semula prestasi mereka untuk tahun depan.
“Hon Jian-Haikal mereka sering kehilangan rentak dan keyakinan selepas kembali dari kecederaan, begitu juga dengan Arif-Roy King, walaupun nampaknya mereka sudah menemui momentum mereka.
“Bagi Wei Chong-Kai Wun, mereka kurang konsisten dan kehilangan fokus semasa kejohanan. Ini satu perkara yang perlu kami tangani kerana tidak boleh teragak-agak menentang pasangan ranking tinggi,” kata Bin Shen.
Dalam masa yang sama, Bin Shen turut mengulas prestasi Aaron-Soh Wooi Yik yang mana, kelayakan mereka saat akhir ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menunjukkan peningkatan menjelang musim 2025.
“Saya lihat kelayakan mereka ke kejohanan itu satu rahmat yang terselindung. Mereka berusaha untuk layak dan usaha mereka terbalas selepas mara ke pertandingan itu.
“Jelajah Dunia Akhir menampilkan beregu terbaik dunia. Jadi ia adalah peluang yang baik untuk mereka bertarung dalam peringkat tertinggi sebelum musim baharu bermula.
“Aaron-Wooi Yik mempunyai masa dua minggu sahaja untuk persiapan manakala selebihnya berbaki sebulan untuk musim 2025. Saya percaya masa itu mencukupi untuk membentuk mereka semula,” tambahnya.


































