Ong Kim Swee
PETALING JAYA: Bekas pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee sah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Persis Solo iaitu kelab yang bersaing di Liga Indonesia.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu diumumkan menerusi laman Facebook rasmi Persis Solo semalam dengan memaklumkan jurulatih berusia 53 tahun terbabit akan mengambil alih tugas daripada Muhammad Hanafing.
“Saya melihat ini sebagai satu peluang bersama satu kelab yang memiliki cita-cita yang cukup tinggi, di mana saya hadir bersama Persis dan memastikan semua pihak memiliki objektif yang sama,” kata Kim Swee.
Persis Solo ketika ini menghuni tangga ketiga tercorot dalam carta Liga Indonesia dengan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi 11 perlawanan.
Pada Khamis lepas, jurulatih berusia 53 tahun itu mengumumkan perpisahan dengan skuad Badak selepas kontraknya berakhir secara rasmi pada 30 November ini.
Sejak dilantik pada September 2021, Kim Swee membantu Sabah menamatkan Liga Super dalam kelompok tiga teratas bagi dua musim berturut-turut selain memacu kemaraan ke separuh akhir Zon Asean Piala AFC musim lepas.
Sebelum ini, terdapat juga khabar angin yang mengatakan bekas jurulatih skuad bawah 23 tahun negara itu akan berada dalam struktur baharu Harimau Malaya.
Bagaimanapun, pengumuman Persis Solo itu menamatkan segala spekulasi dengan Kim Swee bakal menempuh cabaran baharu alam karier jurulatihnya dengan membimbing kelab luar negara.


































