Masiung (dua dari kanan) diberi taklimat oleh Micheal (dua dari kiri) dan Yuseri (kiri) semasa melawat kerja-kerja tanah BCS.
TONGOD: Zon perindustrian kilang klinker dan simen di Kampung Kawayoi di sini akan ditransformasikan menjadi pusat pelancongan.
Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd (BCS), Datuk Masiung Banah berkata, bahawa sebaik sahaja kilang tersebut mula beroperasi menjelang Mei tahun depan, BCS akan menjadi kilang perindustrian pertama di negara ini yang menawarkan zon kilangnya sebagai destinasi pelancongan terbuka.
Beliau menjelaskan bahawa proses pemprosesan batu kapur dan langkah moden dalam penjagaan alam sekitar di zon perindustrian kilang itu berpotensi menjadi produk pelancongan yang menarik bagi pelancong asing dan domestik.
“Pengunjung boleh melihat sendiri operasi kilang, bermula dari peringkat awal hingga proses akhir pembungkusan,” katanya semasa lawatan kerja selama dua hari ke lokasi pembangunan fasa pertama kilang tersebut, kelmarin.
“Paling penting, pelancong akan memperoleh pengalaman berguna mengenai tatakelola penjagaan alam sekitar dan sistem keselamatan pencemaran udara yang kami amalkan.
“Kawasan batu kapur yang dipenuhi flora dan fauna serta ekosistem tropika akan dipelihara tanpa dicemari sisa pepejal dari kilang,” tambahnya.
Masiung turut memaklumkan bahawa kawasan zon perindustrian kilang itu akan dibuka sebagai pusat kajian untuk universiti-universiti tempatan.
“Saya telah berbincang dengan pengurusan BCS supaya sungai-sungai, air terjun, dan tumbuhan eksotik yang terdapat dalam zon perindustrian ini dipelihara dan tidak diterokai,” katanya.
Menurut beliau, pelawat juga boleh menjalankan aktiviti mendaki bukit setinggi 900 meter dari paras laut sambil menikmati pemandangan dinding-dinding batu kapur serta keindahan matahari terbit dan senja.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu menambah bahawa cadangan untuk menjadikan zon kilang klinker dan simen sebagai destinasi pelancongan akan dilaksanakan sebaik sahaja kilang tersebut mula beroperasi.
Pada masa ini, kerja-kerja pembangunan fasa pertama kilang klinker dan simen itu sedang giat dijalankan.
Semasa lawatan kerja dua hari tersebut, Masiung turut diiringi oleh Pengurus Besar BCS, Micheal Kinsuan; Pegawai Daerah Tongod, Yuseri Ismail Yusof; dan Pegawai Pembangunan Masyarakat, Tokyo Hasim Omar.
































