JAKARTA: Indonesia menolak cadangan pelaburan Apple sebanyak AS$100 juta (RM446 juta) yang bertujuan untuk menarik balik larangan penjualan iPhone16.
Oktober lalu, Indonesia melarang pemasaran dan penjualan model iPhone 16 kerana kegagalan Apple memenuhi peraturan pelaburan tempatan yang memerlukan 40 peratus komponen telefon dihasilkan daripada bahan tempatan.
Menurut Utusan Malaysia, ia sebagai sebahagian daripada inisiatif negara itu untuk menarik lebih banyak pelaburan daripada syarikat teknologi gergasi.
Susulan larangan itu, Apple menawarkan untuk meningkatkan pelaburannya di Indonesia sebanyak AS$100 juta (RM446 juta) bagi membolehkan telefon baharu itu dijual di dalam negara.
Bagaimanapun, Menteri Perindustrian, Agus Gumiwang Kartasasmita berkata, Apple tidak memenuhi keperluan kerajaan, terutama jika dibandingkan dengan pelaburan gergasi teknologi itu di negara lain.
“Pada masa ini, Apple masih belum melabur dalam kemudahan pengeluaran atau kilang di Indonesia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Beliau berkata, kementerian menggesa Apple segera menubuhkan kemudahan pengeluaran atau kilang di Indonesia berdasarkan prinsip keadilan supaya syarikat itu tidak perlu memfailkan cadangan skim pelaburan setiap tiga tahun.
Walaupun larangan penjualan dikenakan, kerajaan Indonesia masih membenarkan iPhone 16 dibawa masuk ke Indonesia selagi tidak diperdagangkan secara komersial.
Kerajaan menganggarkan kira-kira 9,000 unit model baru iPhone 16 memasuki negara itu melalui cara tersebut.
Indonesia juga mengharamkan penjualan telefon Google Pixel memasuki negara itu pada tahun 2024.
































