Para peserta terdiri dari kakitangan SSMJ, JAPEN Sabah dan Ahli-ahli Persatuan Wartawan Sabah mengabadikan kenangan bersama sebelum pertandingan bermula.
KOTA KINABALU: Sukan Tenpin Bowling menjadi medan persahabatan kepada lebih 70 peserta dalam Perlawanan Bowling Persahabatan Bersama Media Sabah.
Program anjuran Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) dan Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Sabah itu diadakan bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama antara pentadbir negeri dan pengamal media, selain menjadi platform untuk bertukar pendapat serta berbincang isu semasa yang relevan.
Ketua Penyelaras SSMJ, Datuk Rosmadi Datu Sulai dalam ucapan perasmiannya, menegaskan kepentingan hubungan erat antara pihak kerajaan dan media.
Beliau menyatakan bahawa kolaborasi sebegini penting dalam memastikan maklumat dan dasar kerajaan dapat disampaikan secara tepat kepada masyarakat.
“Kami di SSMJ percaya bahawa dengan adanya hubungan yang baik, apa sahaja yang dilakukan akan lebih mudah sampai kepada rakyat.
“Ini penting bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan selaras dengan matlamat kerajaan,” katanya pada Program Santai Boling Bersama Media anjuran SSMJ x JAPEN Sabah 2024 di 1Borneo Hypermall dekat sini pada Sabtu petang.
Datuk Rosmadi turut menyatakan hasrat untuk menjadikan penganjuran acara sukan bersama media sebagai acara tahunan dan mencadangkan agar penganjurannya dipelbagaikan kepada aktiviti sukan lain untuk mengeratkan hubungan.
Pengarah JAPEN Sabah, Jainisah Mohd Noor dalam ucapan aluannya pula, memuji usaha kolaborasi antara SSMJ dengan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JAPEN Sabah yang diketuai Dr Diana Dominic dalam menjayakan program tersebut.
Menurut beliau acara itu bukan sahaja mencipta peluang berinteraksi tetapi juga menjadi medan untuk mendapatkan maklum balas daripada media bagi memperbaiki perkhidmatan JAPEN.
“Melalui acara sukan seperti ini, kita bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan fizikal dan mental, tetapi juga membina rangkaian sosial yang lebih mantap serta rasa saling percaya dan hormat-menghormati,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan penting media dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap dasar-dasar kerajaan.
Jainisah berharap melalui hubungan yang diperkukuhkan ini, matlamat Malaysia Madani dan visi Sabah Maju Jaya dapat disampaikan dengan lebih efektif.
“Acara ini menyaksikan sambutan hangat daripada peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi, menjadikan sukan sebagai medium silaturahim dan saluran untuk memperkukuhkan komunikasi antara kerajaan dan media.
“Inisiatif seperti ini diharapkan menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan demi manfaat rakyat Sabah dan kejayaan agenda pembangunan negeri,” ujarnya.
Pada majlis itu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JAPEN Sabah, Peter Tong Ah Pin memenangi kategori Jatuhan Pin Terbanyak (Lelaki) manakala Penerbit Seksyen Berita Ehwal Semasa Jabatan Penyiaran (RTM) Sabah Miriam Ajem memenangi kategori wanita.
Turut hadir menyertai pertandingan tersebut Presiden Persatuan Wartawan Sabah Datuk Muguntan Vanar, Timbalan Pengarah JAPEN Sabah Supian Musa dan Ketua Penolong Pengarah Khidmat Keurusetiaan ESSCOM Imelda Godon.


































