Robert (kiri) berbual dengan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
KOTA KINABALU: Aspirasi Kerajaan Negeri untuk memposisikan Pelabuhan Teluk Sapangar sebagai hab perdagangan di rantau ini dijangka akan memberikan impak positif yang signifikan terhadap ekonomi Sabah dalam jangka masa panjang.
Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik berkata, selepas mengambil alih operasi pelabuhan daripada Sabah Ports Sdn. Bhd., DP World telah merangka strategi dan hala tuju untuk mencapai matlamat ini.
Beliau menambah, antara langkah-langkah utama yang dirancang termasuk pembesaran kapasiti pelabuhan kontena.
“DP World merancang untuk memperluas kapasiti Pelabuhan Teluk Sapangar agar mampu menampung lebih banyak kargo dan meningkatkan kecekapan logistik. Ini akan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai pusat perkapalan yang berdaya saing di rantau ini.
“Selain itu, turut diadakan kolaborasi dengan operator antarabangsa. Ini dapat dibuat dengan meningkatkan Kecekapan Melalui Penggunaan Amalan Terbaik (Best Practices).
“Dengan itu, DP World akan memperkenalkan amalan terbaik dan teknologi terkini yang akan mempercepatkan proses pemindahan kargo dan meminimumkan masa operasi,” katanya.
Robert berkata, usaha juga dijalankan bagi memperkukuh laluan perdagangan strategik.
Katanya, kolaborasi ini juga bertujuan memperluas rangkaian laluan maritim yang strategik, di mana langkah ini dijangka dapat mengurangkan kos logistik dan maritim bagi para pengguna, sekaligus menjadikan Sabah lebih kompetitif sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan.
Robert berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan daripada Datuk Jaffari Waliam (ADUN Dilantik) yang bertanya apakah hala tuju DP World selepas mengambil alih operasi pelabuhan daripada Sabah Ports Sdn. Bhd. di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar.
Robert berkata, pembangunan Zon Bebas (Free Zone) di pelabuhan akan membuka peluang besar untuk menarik lebih banyak pelaburan asing, menggalakkan pertumbuhan aktiviti hiliran dan meningkatkan pengeluaran kargo.
“Peningkatan dalam aktiviti ekonomi ini akan menyumbang kepada hasil negeri melalui cukai korporat, yang akan dikutip oleh Kerajaan Negeri.
“Secara keseluruhan, strategi ini bukan sahaja akan mengukuhkan ekonomi Sabah dengan memacu pertumbuhan perdagangan dan pelaburan, tetapi juga memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab maritim utama di rantau ini,” katanya.
Sementara itu, berkenaan isu pengawalan kenaikan cukai oleh Kerajaan, Robert memberitahu bahawa Kerajaan mempunyai polisi-polisi untuk memastikan bahawa apa juga yang akan dikenakan, impaknya akan menyebelahi pihak Kerajaan.
“Berkenaan dengan penambahan peluang-peluang pekerjaan, sudah pasti ada pertambahan peluang pekerjaan bukan sahaja secara langsung tetapi juga ‘spilled-over effect’ daripada aktiviti ekonomi,” jelas beliau.






























