Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sememangnya sentiasa berjuang bagi memastikan anak-anak Sabah dilantik ke dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan, termasuklah jawatan-jawatan kehakiman, Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau menjawab isu dibangkitkan oleh Jamil Hamzah (Bugaya) berkaitan perkhidmatan awam khususnya kehakiman, agar peluang pelantikan diutamakan ke atas orang-orang Sabah, semasa menggulung untuk Jabatan Ketua Menteri (JKM) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini kelmarin.
Merujuk kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS), Hajiji berkata walaupun jabatan ini di bawah seliaan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), namun terdapat rundingan dan usahasama untuk menyelaras semua isu termasuklah isu perjawatan.
“Keutamaan pengisian jawatan dan penempatan pegawai adalah diberi kepada pegawai yang merupakan anak tempatan Sabah,” katanya.
Terdahulu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri telah menaikkan kadar upah Pekerja Sambilan Harian (PSH) di peringkat Perkhidmatan Awam Negeri berkuat kuasa pada 1 Disember 2024.
Jelasnya kadar upah PSH bagi kelayakan akademik Penilaian Menengah Rendah (PMR) telah dinaikkan daripada RM44 sehari kepada RM75 sehari atau RM1,725 sebulan, kelayakan akademik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah dinaikkan daripada RM54 sehari kepada RM80 sehari atau RM1,840.00 sebulan, kelayakan akademik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)/Diploma telah dinaikkan daripada RM72 sehari kepada RM85 sehari atau RM1,955 sebulan dan kelayakan akademik Ijazah telah dinaikkan daripada RM100 sehari kepada RM105 sehari atau RM2,415.00 sebulan.
“Untuk makluman, gaji minimum swasta kepada RM1,700 telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada bulan Oktober yang lalu dan akan dilaksanakan bermula Februari 2025. Kerajaan Negeri akan memaklumkan pihak swasta sebaik sahaja perintah dibuat dan dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan kelak,” katanya.






























