Ellron Angin
KOTA KINABALU: Beberapa langkah drastik akan dilaksanakan tahun depan dalam usaha untuk menaikkan nama Sabah sebagai sebuah negeri yang cemerlang dalam bidang sukan prestasi tinggi dan sukan para.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, Kementeriannya akan menstrukturkan semula pengurusan persatuan-persatuan sukan yang terdapat di negeri ini.
Katanya, penstrukturan ini melibatkan
Pegawai Pembangunan Sukan (SDO), jurulatih dan para atlet.
“Ini adalah bagi memastikan atlet yang bertanding sama ada dalam kejohanan kebangsaan atau antarabangsa benar-benar kuat secara fizikal dan mental supaya dapat memenangi pingat yang disasarkan.
“Atlet-atlet yang dikenal pasti dapat menyumbang pingat kepada negara dalam kejohanan antarabangsa akan dihantar berlatih ke luar negara iaitu dalam misi pencarian pingat emas di temasya Sukan Olimpik.
“Penghantaran atlet-atlet ini akan dilakukan dengan mengadakan Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan institusi pengajian tinggi luar negara yang mempunyai kecemerlangan melahirkan atlet sukan tertentu,” katanya ketika menggulung untuk Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Ellron berkata, Kementerian juga akan menganjurkan Sukan Sabah atau Sabah Games (SAGA) XI edisi Ke-11pada tahun depan di daerah Tawau.
Katanya, melalui kejohanan SAGA ini, mereka akan memilih atlet-atlet yang layak dan berpotensi untuk menjalani latihan intensif bagi mewakili Sabah dalam kejohanan Sukan Malaysia atau SUKMA pada tahun 2026.
“Kita telah menyusun beberapa strategi baharu bagi meningkatkan sasaran pungutan pingat emas pada kejohanan SUKMA akan datang.”
Kementerian juga akan menumpukan kepada pembangunan atlet-atlet para.
“Atlet para Sabah telah banyak menyumbang pingat kepada Sabah dan Malaysia dalam beberapa kejohanan sukan sama ada dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa seperti kejayaan Eddy Bernard memenangi pingat Gangsa pada Paralimpik Paris 2024.
“Justeru itu, bagi memartabatkan imej
Sabah dalam Sukan Para, Kementerian saya akan melaksanakan pelbagai program untuk memastikan kejayaan demi kejayaan dapat dicapai.”
Beliau berkata, Kementerian juga dalam usaha membangunkan Pusat Latihan
Sukan Berprestasi Tinggi dan Sukan Para. Kertas Kerja mengenai penubuhan pusat latihan ini telahpun disediakan dan akan dibawa untuk dibentangkan kepada Kerajaan Negeri untuk mendapatkan kelulusan.
“Sekiranya memperolehi kelulusan akan dibina secara berfasa. Tempat penubuhan pusat ini ialah terletak di Kg. Biah, Keningau seluas 120 ekar.
“Dengan wujudnya pusat latihan ini maka Sabah sudah pasti akan melahirkan lebih ramai atlet yang cemerlang pada masa hadapan dan sekali gus Sabah akan menjadi tarikan kepada penggiat-penggiat sukan bukan sahaja dalam negara tetapi juga daripada luar negara untuk melabur dalam sektor sukan.”
Ellron berkata, Kementerian juga akan membina dan menyelenggara kemudahan-kemudahan sukan luar bandar seperti padang bola sepak luar bandar dan gelanggang-gelanggang sukan komuniti.
Katanya, kemudahan-kemudahan sukan ini amat diperlukan bagi menggalakkan masyarakat bersukan dan dapat meningkatkan bakat belia yang berpotensi mewakili negeri dalam bidang sukan prestasi tinggi dan sukan para.
Kementerian juga akan memberi bantuan peralatan sukan kepada persatuan dan
kelab sukan bagi memastikan program-program sukan akan sentiasa berkembang maju.
“Kementerian saya juga akan menganjurkan sukan massa dan sukan tradisi secara kolaborasi dengan persatuan dan kelab sukan di beberapa daerah di Sabah.
“Ini selain menaik taraf dan menyelenggara kemudahan-kemudahan yang terdapat di kompleks-kompleks sukan dan arena-arena belia seperti gelanggang-gelanggang sukan dan bangunan yang telahpun dikenal pasti.”


































