Pemain-pemain skuad Harimau Malaya meraikan jaringan gol menentang Laos dalam aksi persahabatan di Bangkok, Thailand, semalam. Malaysia menang 3-1. – Ihsan FAM
PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya dijangka berdepan laluan sukar dalam misi menempah tempat ke Piala Asia 2027 bagi beraksi buat kali kedua berturut-turut di pentas tertinggi Asia itu.
Menurut Utusan Malaysia, hal ini kerana, skuad kebangsaan kemungkinan besar akan kekal dalam Balang 2 bagi undian pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 dijadual Disember ini.
Menerusi laman Footyrankings, skuad bimbingan Pau Marti Vicente dilihat tidak berpeluang untuk memintas India yang menjadi pasukan dengan ranking terendah dalam Balang 1 walaupun kedua-dua pasukan akan bertembung di Hyderabad, Isnin depan.
Justeru, kedudukan Malaysia dalam Balang 2 menyaksikan mereka bakal berdepan enam pasukan yang berada pada ranking lebih tinggi berbanding mereka serta tidak mustahil untuk Malaysia berdepan India sekali lagi pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.
Selain India yang dijangka ‘terjamin’ kedudukan mereka untuk terus berada dalam Balang 1, lima lagi pasukan adalah Syria, Tajikistan, Lubnan serta dua seteru ASEAN iaitu Thailand dan juga Vietnam.
Pusingan ketiga Piala Asia 2027 ini nyata lebih ‘kejam’ kerana hanya juara kumpulan akan melayakkan diri ke Arab Saudi memandangkan hanya berbaki enam slot terakhir untuk direbut.
Enam juara kumpulan ini akan menyertai 18 pasukan yang telah mengesahkan tempat secara merit daripada pusingan kedua Kelayakan Piala Asia 2027 sebelum ini termasuk tuan rumah.
Skuad negara ketika ini, menghimpun 1113.92 mata ketinggalan 19.86 mata di belakang India yang mengutip 1133.78.
Dua aksi persahabatan antarabangsa yang dilalui Harimau Malaya pada minggu ini, berdepan Laos dan India dilihat tidak cukup untuk memintas jurang 19.86 mata pasukan ranking terbawah balang 1 itu.
Mengikut perkiraan mata, jika Malaysia menang ke atas India, Malaysia dapat menambah 5.19 mata sementara India akan kehilangan jumlah mata sama dan masih ada jurang berbelas mata untuk dikejar skuad negara apatah lagi ini adalah jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terakhir bagi tahun ini.
Meskipun Malaysia akan terbabit dengan Piala AFF 2024 yang turut menawarkan mata untuk ranking FIFA namun jumlah mata yang dikutip begitu kecil kerana kemenangan ke atas Kemboja dan Thailand hanya membolehkan mereka menambah 4.68 mata.
Jendela FIFA seterusnya adalah pada Mac tahun depan dan ketika itu, pusingan kelayakan telahpun membuka tirainya bermula 25 Mac 2025 hingga 31 Mac 2026.
Dalam pada itu, pasukan yang dilihat akan kekal dalam Balang 2 selain Malaysia adalah Turkmenistan, Filipina, Afghanistan dan Yaman serta Hong Kong dilihat memiliki 73 peratus untuk kekal dalam balang berkenaan.


































