KOTA KINABALU: Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menekankan pentingnya mengamalkan politik hormat-menghormati, politik perpaduan, dan politik pembangunan, khusus untuk mereka di Sabah yang menerima pakai konsep dan semangat Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah itu berkata, sesuai dengan budaya dan adat resam orang Sabah yang peramah, bertoleransi tinggi dan hidup dalam harmoni, maka mereka wajib menyemai dan menyuburkan semangat perpaduan kaum di kalangan mereka bagi mengekalkan kerukunan dan keharmonian dalam masyarakat.
“Sebagai rakyat Malaysia dan orang Sabah, sudah pasti kita semua menginginkan kemajuan dan pembangunan yang boleh dinikmati sepenuh-penuhnya.
“Kita juga menginginkan keamanan dan kemakmuran yang hakiki, tanpa ada rasa takut di dalam hati, atau rasa terancam dalam menjalani kehidupan seharian. Sedarlah, bahawa semua impian dan harapan itu hanya boleh dicapai jika negeri dan negara kita ini kekal aman dan stabil, rukun dan damai,” kata beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata, konteks kepartian dan berkerajaan, kestabilan politik itu sangat penting untuk maju dan mara ke hadapan dalam suasana yang aman, makmur dan sentosa.
Katanya, kestabilan politik itu sendiri adalah kunci kepada kemajuan dan kesejahteraan.
“Tanpa kestabilan dan keamanan, segala yang kita inginkan hanya tinggal harapan kosong dan angan-angan. Kestabilan politik mustahil dapat dicapai jika pemimpin bercakaran.
“Kestabilan politik juga tidak akan menjadi kenyataan jika rakyat turut diheret untuk
bersengketa dan berbalah sesama sendiri, yang akhirnya membawa kepada perselisihan yang berpanjangan. Persengketaan dan perselisihan jika dibiarkan berlarutan, tidak ditangani dengan bijaksana, akhirnya akan mencetuskan perpecahan. Perpecahan itu adalah punca kelemahan yang akan mengheret kita ke kancah kegagalan dan kehancuran,” jelasnya.
Hajiji berkata, Kerajaan pimpinannya mempunyai tempoh sehingga bulan Oktober 2025 untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
“Maknanya, kita boleh mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa, sebelum atau sehingga tempoh kita tamat.
“Apa yang pasti, kita akan berhadapan dengan pilihan raya. Kita memerlukan mandat baharu daripada rakyat serta sokongan yang signifikan untuk menerajui Kerajaan Negeri dalam tempoh lima tahun akan datang. Tempoh tersebut amat penting kepada rakyat dan negeri ini bagi memastikan segala agenda yang terkandung dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang kita gagaskan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Kita mahu pastikan, setiap keluh kesah
rakyat dapat diambil perhatian dengan serius untuk diselesaikan.
“Yakin dan percayalah, PRN17 merupakan peluang terbaik untuk kita memperkukuhkan kedudukan dan kekuatan Gagasan Rakyat, selain menjadi medan untuk kita pasakkan asas parti serta memperkasa sokongan rakyat terhadap parti yang tercinta ini.
“Momentum ini akan menjadikan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kukuh terpatri dalam politik arus perdana, sekali gus mencipta blok politik yang kuat lagi disegani.
“Melihat kepada situasi dan kedudukan kita masa kini, meski pun semuanya berjalan dengan baik dan teratur, tetapi Gagasan Rakyat, sebagai sebahagian daripada komponen dalam GRS, perlu mula memperkemaskan strategi, menyusun rapi pentadbiran dan pengurusan parti. Tiada lagi ruang untuk kita berlengah-lengah atau berpuashati dengan kedudukan dan pencapaian. Tiada lagi ruang untuk kita bermegah-megah dengan jawatan dan kedudukan.”
Hajiji berkata, rakyat adalah punca kuasa dan di tangan rakyat terletaknya nasib mereka.
Katanya, Gagasan Rakyat sekadar
bahtera atau kenderaan yang menggerakkan perjuangan mereka dan beliau sebagai Presiden, dan pemimpin-pemimpin lain sebagai Ketua Bahagian atau Ketua Cawangan dan sebagai Ketua Sayap.
“Kitalah yang menakhoda atau menjadi jurupandu di peringkat kita masing-masing. Saya katakan ini sebagai peringatan kepada kita semua, bahawa di tahap ini, usaha kita seharusnya sudah sampai ke tahap paling maksimum, iaitu usaha mendekati dan menyantuni rakyat, bahkan usaha dalam mengajak rakyat untuk menyertai bahtera perjuangan kita.
“Ini termasuklah juga usaha memperkukuh pentadbiran dan struktur parti di setiap cawangan, di seluruh bahagian dan di semua peringkat! Cuba kita cermin-cerminkan diri, di mana dan bagaimana kedudukan kita sekarang ini? Maksud saya, jarak antara kita dengan rakyat; kedudukan antara kita dengan golongan akar umbi.
“Adakah kita ini dekat dengan mereka? Dan adakah mereka menyenangi serta menyokong perjuangan kita? Anda
yang berada di lapangan, dan anda yang menjaga kawasan – tentu lebih arif untuk
memberikan reaksi atau jawapan daripada pertanyaan yang saya lontarkan.
“Selaku Presiden, saya bukan sahaja mengharapkan laporan atau cerita yang baik-baik daripada setiap kawasan, tetapi saya mahukan keikhlasan dan kejujuran dalam memberikan laporan berkenaan.
“Ada kalanya, laporan yang diterima tidak seperti maklumbalas yang sampai ke telinga saya, yang dibawa sendiri oleh ahli-ahli parti dari akar umbi. Sebab itu saya tekankan, hubungan antara pimpinan bahagian dengan rakyat setempat, hendaklah sentiasa rapat dan akrab, agar denyut nadi rakyat ini mudah kita selami
dan fahami.
“Mahu tidak mahu, suka atau tidak, perjuangan ini perlu ditingkatkan. Dan ketahanan kita dalam melayari bahtera perjuangan ini pun, perlu diperkukuhkan.
“Kita yang berada di dalam Gagasan Rakyat ini bukan sahaja perlu meneruskan langkah perjuangan, tetapi perkemaskan dan perkukuhkanlah dahulu parti kita, saling bekerjasama, bantu membantu
dalam memperteguhkan parti, disamping mempergiatkan silaturrahim, bukan hanya di kalangan ahli parti, tetapi juga di kalangan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau juga menasihati terutamanya para pemimpin dan ahli parti agar tidak terbawa-bawa dengan amalan atau budaya politik yang hanya mengutamakan ahli-ahli parti semata-mata, tanpa melibatkan rakyat seluruhnya.
“Sebab kita tidak mahu rakyat menjauh atau rakyat rasa terpinggir dari arus perdana kemajuan dan pembangunan.
“Kebersamaan dan kesatuan kita ini perlu kuat dan hebat; perlu kukuh dan padu,
umpama seberkas lidi yang diikat rapi. Kita perlu seia dan sekata, sehati dan sejiwa, bagai aur dengan tebing, bagai kuku dengan isinya. Kita perlu benar-benar padu dan bersatu; bak kata pepatah, serumpun bak serai, sesusun bak sireh, seliang bak tebu dan serangkap bak lembing. Kita tidak mampu lagi untuk bercerai berai, apatah lagi berpecah belah!
“Perceraian dalam konteks perkahwinan akan meruntuhkan institusi rumah tangga; anak-anak akan menjadi mangsa. Perpecahan dalam konteks berpersatuan dalam perjuangan, akan meruntuhkan institusi kemasyarakatan; dan anggota masyarakat adalah mangsanya.
“Perceraian dan perpecahan adalah dua perkara yang harus dielak dan dijauhi, kerana keduaduanya boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan rakyat.
“Kebersamaan, kesatuan dan perpaduan itu adalah kunci kepada kejayaan dan
kecemerlangan.
“Dalam konteks Gagasan Rakyat, berulang kali telah saya sebut bahawa Gagasan
Rakyat ini adalah singgahsana kita, ia adalah rumah kita! Sesungguhnya, rumah ini telah kita dirikan dan bina bersama dengan tekad dan iltizam yang padu dan jitu. Rumah ini, adalah rumah kita, rumah kita, kitalah yang jaga, rumah kita, kitalah yang bertanggungjawab terhadapnya!”
Justeru, kata beliau, sudah tiba masa untuk mereka memperkemaskan kembali rumah mereka ini.
“Menyusun-atur segala yang ada di dalamnya dan memperkukuhkan segala penjuru tiang serinya. Kerana rumah ini akan kita buka seluas-luasnya – supaya ramai tetamu boleh datang dan bertandang, supaya lebih ramai rakyat yang boleh kita dekati dan santuni.
“Sebab itu saya ingatkan lagi; pertingkatkan daya juang, perkukuhkan jentera pilihanraya, rapatkan saf kepimpinan, dan lebih penting, jenguk-jenguklah rakyat, walau keberadaan mereka itu nun jauh di pelusuk kampung atau terpencil di kaki gunung!”


































