KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan menjulang semangat Persekutuan Malaysia berteraskan Citra Kebangsaan walaupun parti ini berjiwa tempatan, kata Presidennya, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Menurutnya, Gagasan Rakyat akan memainkan peranan yang signifikan dalam kancah politik nasional bagi mengangkat agenda pembangunan negeri dan negara.
“Suka saya ingatkan, Gagasan Rakyat telah meletakkan tiga teras perjuangan yang kita simpulkan dalam akronim SMJ: iaitu S – Stabil Politik, M – Makmur Negeri dan J – Jaminan Kesejahteraan. Ketiga-tiga teras ini amat bertepatan sekali dengan Hala Tuju SMJ yang kita gagaskan lebih tiga tahun yang lalu.
“Saya yakin dan percaya, Sabah hanya boleh dibangunkan serta dimajukan dengan adanya kestabilan politik. Malah kestabilan itu perlu bermula daripada parti kita sendiri, baik di peringkat cawangan, bahagian mahupun negeri.
“Kita wajib mengelak daripada berlakunya perpecahan dan pergeseran. Segala perbezaan yang wujud mesti diselesaikan dengan baik dan bijaksana. Jika kita bersatu, Gagasan Rakyat akan menjadi lebih kuat dan dihormati.
“Jika itu boleh kita lakukan, pimpinan kerajaan akan dapat memberi perhatian
sepenuhnya kepada usaha memajukan negeri.
“Kita memikul amanah berat untuk
memastikan hak rakyat Sabah terbela. Kita ada tanggungjawab besar untuk selesaikan masalah yang menjadi isu legasi sejak sekian lama,” katanya yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji yang juga Ketua Menteri memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri yang dipimpin beliau akan terus bertekad untuk memastikan segala permasalahan rakyat
diambil perhatian serius dan diselesaikan.
“Dalam mengemudi pentadbiran negeri, saya sering mengingatkan rakan-rakan dalam GRS betapa pentingnya kesatuan dan perpaduan antara kita ini terus dipupuk dan dibaja, agar matlamat untuk membina Sabah yang bersatu atau united, progresif, dinamik, aman dan sentosa, akan lebih mudah dicapai sepenuh-penuhnya.
“Dalam GRS kita menyelami hati budi rakyat dan memperjuangkannya demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.
“Inilah juga asas perjuangan Gagasan Rakyat, menyelami hati budi golongan akar umbi dan menyediakan pelbagai insentif yang dapat mereka manfaatkan.”


































