NEW YORK: Gabenor California, Gavin Newsom mengisytiharkan darurat di negeri itu selepas lebih 132 rumah musnah dan 88 lagi rosak teruk akibat kebakaran hutan yang semakin merebak berhampiran komuniti di Los Angeles.
Menurut Utusan Malaysia, angin sekuat taufan yang melanda kawasan itu minggu ini mencetuskan kebakaran besar berhampiran gunung Camarillo dengan api marak yang menjulang tinggi sejak Rabu lalu memusnahkan lebih 8,100 hektar tanah.
Lebih 2,400 anggota bomba dan puluhan jentera, jentolak serta pesawat dikerah untuk memadam kebakaran itu, malah syarikat utiliti turut menutup bekalan elektrik kepada beribu-ribu pelanggan di kawasan itu.
Beberapa penduduk menggambarkan bagaimana mereka bergegas mengumpulkan barangan penting dan haiwan peliharaan ketika kebakaran merebak dengan pantas dari rumah ke rumah.
Seorang penduduk, Robin Wallace berkata, kediaman tempat beliau dibesarkan musnah dalam hanya beberapa minit selepas dia dan keluarganya keluar melarikan diri.
“Kami menjangkakan kami akan dapat kembali dan mendapatkan semula beberapa barangan lain.
“Tetapi malangnya ia tidak berlaku kerana tempat tinggal kami ‘lenyap sepenuhnya’ menjelang tengah hari. Api marak dengan cepat,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Linda Fefferman berkata, dia menyedari perlu segera keluar mencari perlindungan apabila mula terhidu bau asap yang kuat.
“Saya cuba memuatkan kereta dengan haiwan, dokumen penting dan penutup muka oksigen tetapi dalam hanya beberapa minit rumah saya dipenuhi asap, jadi saya tahu saya perlu segera keluar,” katanya kepada penyiar tempatan.
Seorang jiran berhampiran membawa gergaji berantai berusaha membantu mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan di kawasan itu bagi memudahkan penduduk segera menyelamatkan diri.
Kawasan itu dihuni kira-kira 30,000 orang, dengan lebih 10,000 sudah diarahkan berpindah dan dinasihatkan tidak kembali untuk beberapa hari lagi.
































