Isteri mangsa yang maut ditikam dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam, dipeluk oleh ahli keluarga terdekat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP).
GEORGE TOWN: Isteri kepada mangsa yang maut ditikam dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam, di sini, semalam reda dengan takdir menimpa suami dan anak perempuannya.
Menurut Utusan Malaysia, wanita yang enggan dikenali itu kelihatan sedih dan tidak mahu mengulas lanjut mengenai kejadian itu.
“Saya reda dua nyawa hilang serentak. Kita tidak tahu kematian kita macam mana, (tapi) kita dah tahu kematian mereka macam mana,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.54 tengah hari itu, seorang bapa dan anak perempuan masing-masing berumur 62 tahun dan 30 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditikam suspek dengan menggunakan sebilah pisau.
Suspek kemudian bertindak mengelar dan menikam dirinya sendiri beberapa kali selepas membunuh dua beranak tersebut.
Suspek kini direman tujuh hari sehingga 14 November ini bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, ketika ini suspek sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Dalam pada itu, adik lelaki kepada mangsa, Zambri Arifin, 46, berkata, dia bertemu dengan arwah abangnya dua hari lalu di rumah mereka di Tanjong Tokong.
“Abang saya memang kerap datang ziarah kami di Flat Uda, Tanjong Tokong, mak kami pun tinggal di sini, kami sembang-sembang biasa sahaja.
“Abang saya pun tidak beritahu apa-apa, dia nampak macam tiada masalah apa pun, abang saya ini orangnya pendiam dan tenang sahaja,” katanya yang memberitahu abangnya bekerja sebagai pemandu peribadi.
Tambahnya, jenazah abangnya dan anak saudaranya itu akan dikebumikan lewat petang ini di Tanah Perkuburan Islam Kariah Tanjong Tokong.
Sementara itu, kakak kepada mangsa tidak menyangka panggilan telefon daripada adiknya pada tengah hari kelmarin, merupakan perbualan terakhir mereka berdua.
Khadijah Ibrahim, 64, berkata, adik lelakinya yang mesra disapa sebagai Zul dalam kalangan keluarga mereka menelefonnya beberapa minit sebelum maut akibat ditikam dengan pisau dalam kejadian itu.
“Saya baru bercakap (telefon) dengan dia pukul 12.47 tengah hari semalam, tiba-tiba saya dapat panggilan daripada ibu saya pada pukul 1.09 tengah hari yang maklumkan adik dah meninggal dunia.
“Saya tidak percaya selepas ibu memberitahu adik sudah meninggal sebab baru sangat bercakap dengan dia. Saya meraung dan tanya ibu, betulkah adik meninggal?” soalnya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini.
Menurut Khadijah, dia tidak sempat bersembang lama dengan adiknya semalam selepas adiknya itu meminta untuk memutuskan panggilan berikutan ada panggilan masuk ketika itu.
“Dia tidak pernah telefon ketika makan atau minum tetapi semalam dia telefon saya, saya agak pelik. Saya sempat tanya dia, ada di mana saja. Dia beritahu, dia makan di Nasi Kandar Deen dan kemudian, dia minum pula di kedai di nasi kandar lain di Gelugor.
“Ketika kami bersembang di telefon pada masa itu, anak perempuannya menelefon adik saya dan adik saya kata ada hal sedikit sebelum memutuskan talian telefon,” katanya.

































