Penggunaan antibiotik yang berlebihan boleh mengancam sistem penjagaan kesihatan disebabkan oleh rintangan antimikrob (AMR).
Menurut Utusan Malaysia, AMR berlaku apabila mikroorganisma seperti kulat, bakteria, virus atau parasit tidak lagi boleh diatasi dengan pengambilan ubat antimikrob misalnya antibiotik, antikulat, antivirus, antimalaria dan antelmintik.
Dalam bahasa mudah, seseorang itu menjadi kebal antibiotik sehingga sebarang rawatan tidak lagi boleh memulihkan dan menyebabkan jangkitan yang berlaku berterusan sekali gus berisiko menjangkiti individu lain.
Menurut kajian The STAR Asean, penggunaan antibiotik yang berlebihan memburukkan masalah AMR dengan Malaysia mencatatkan kadar preskripsi antibiotik tertinggi iaitu sebanyak 44 peratus di Asia.
Pakar Penyakit Berjangkit, Prof. Dr. Zamberi Sekawi berkata, salah faham mengenai fungsi antibiotik menjadi salah satu cabaran utama dalam menangani AMR.
“Misalnya, walaupun 72 peratus penyedia penjagaan kesihatan mengesyorkan antibiotik, hanya 28 peratus yang membincangkan manfaat dan potensi risikonya dengan pesakit.
“Jurang pengetahuan ini amat signifikan kerana 71 peratus individu percaya antibiotik berkesan melawan selesema, sementara 70 peratus menyangka antibiotik boleh membunuh virus di mana salah faham ini mendorong kepada penyalahgunaan dan preskripsi antibiotik berlebihan.
“Menangani salah faham ini adalah penting untuk mengurangkan penggunaan antibiotik dengan sewenang-wenangnya terutama bagi jangkitan virus seperti selesema, yang mana antibiotik tidak memberikan sebarang manfaat,” katanya.
Untuk rekod, Organisasi Kesihatan Dunia telah mengenal pasti AMR sebagai salah satu daripada 10 ancaman kesihatan awam global yang juga dikenali sebagai pandemik senyap.

Penjagaan kebersihan
Bagi mengekang gejala AMR, penggunaan antibiotik perlu dikurangkan dan dikawal melalui penjagaan kesihatan yang lebih proaktif dan menyeluruh.
Penjagaan kesihatan dan kebersihan yang baik boleh mencegah berlakunya penyebaran penyakit berjangkit.
Justeru, jenama produk perlindungan kuman, Dettol tampil dengan kempen Dettol Selangkah Lebih, Selangkah Kasih dengan misi membawa perubahan amalan kebersihan di rumah dan di tempat-tempat awam.
Misalnya sekolah, restoran serta lokasi yang kerap menjadi titik penyebaran penyakit jika kebersihan terabai.
Pengarah Pemasaran untuk Kesihatan Malaysia dan Singapura di Reckitt, Tiffany Tang berkata, kebersihan tangan dan kebersihan permukaan yang kerap disentuh merupakan asas penting dalam menghentikan penyebaran penyakit.
“Tangan kita boleh membawa lebih daripada 3,000 jenis bakteria dan permukaan yang tercemar boleh menampung virus sehingga 48 jam.
“Kempen Dettol mendidik rakyat Malaysia tentang amalan mudah tetapi berkesan seperti mencuci tangan dengan sabun antibakteria dan sentiasa membasmi kuman pada permukaan yang kerap disentuh.
“Sekali gus boleh menghalang penyebaran penyakit seperti Covid19, influenza, dan virus bawaan makanan,” katanya.
Tambah jenama itu, penyakit berjangkit menyumbang kepada satu dalam empat kematian di seluruh dunia dengan 35 peratus jangkitan biasa kini kebal kepada antibiotik.
Jika tidak ditangani, AMR boleh mengorbankan hingga 10 juta nyawa setahun menjelang 2050, menjadikan prosedur perubatan rutin seperti pembedahan caesarean sebagai rawatan berisiko tinggi.
Tambahan pula, musim tengkujuh yang semakin hampir meningkatkan risiko jangkitan dan penyakit yang lebih tinggi.
Hujan berterusan dan banjir mewujudkan keadaan yang lebih mudah untuk penyebaran penyakit bawaan air seperti kolera dan disenteri.
Populasi terjejas yang ditempatkan di pusat perlindungan yang sesak juga terdedah kepada jangkitan pernafasan dan masalah kulit.
Melalui kempen itu, jenama berkenaan menekankan kepentingan kebersihan permukaan barangan dalam mengurangkan penyebaran bakteria dan virus seperti MRSA, E. coli dan virus influenza.
Pembasmian kuman yang teratur boleh menghapuskan lebih 99 peratus bakteria yang berkait dengan penyakit bawaan makanan, sekali gus membantu mencegah risiko jangkitan.
Setakat ini, program berkenaan telah mencapai lebih daripada lima juta individu merangkumi siri program yang disusun khas untuk pelbagai lapisan masyarakat.
Salah satu fokus kempen ini adalah mendekati ibu-ibu baru melahirkan di hospital dengan menyediakan maklumat dan sumber penting mengenai kebersihan diri serta persekitaran sekeliling mereka.
Selain itu, kempen berkenaan turut menyasarkan kanak-kanak sekolah melalui Program Sekolah Dettol, yang melibatkan mereka dalam aktiviti pendidikan bagi membentuk tabiat kebersihan yang baik sejak usia muda.

































