Fahmi Fadzil – Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Proses penilaian dan pemilihan syarikat U Mobile Sdn. Bhd. bagi melaksanakan Rangkaian 5G Kedua Malaysia tidak melibatkan mana-mana menteri dan timbalan menteri.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, proses itu juga tidak melibatkan pengaruh pemegang saham syarikat asing dan tempatan.
“Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) telah meneliti dan memastikan bahawa isu pegangan saham yang saya nyatakan iaitu tidak lebih daripada 49 peratus pegangan asing yang mana itu telah dipenuhi.
ASING
“Pihak U Mobile juga telah memaklumkan bahawa pegangan asing akan dikurangkan kepada 20 peratus. Jadi, dari aspek pegangan sama ada asing atau tempatan, ia tidak melanggar syarat-syarat bagi keputusan yang telah dibuat,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta penjelasan sama ada pemilihan syarikat U Mobile sebagai penyedia Rangkaian Kedua 5G mengambil kira faktor siapa individu tertentu yang memiliki saham dalam syarikat tersebut.
Jelasnya, SKMM telah melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih Pengendali Rangkaian Mudah Alih Mobile Network Operator (MNO) yang akan melaksanakan Rangkaian 5G Kedua Malaysia.
Fahmi juga menegaskan, U Mobile dipilih melalui proses tender, dan bukannya secara penganugerahan terus atau ‘direct award’.
Kata beliau, pemilihan syarikat pelaksana rangkaian 5G kedua dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor.
“Antaranya, rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.
SUMBANGAN
“Ini termasuk faktor sumbangan kepada projek Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) seperti Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 dan projek penaiktarafan 4G, yang selaras dengan komitmen SKMM untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan kecemerlangan perkhidmatan.
“Bagi pemilihan ini, komitmen kawal selia telah ditetapkan untuk memastikan pematuhan kepada standard yang ditetapkan. SKMM akan memantau komitmen ini dengan teliti dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan terhadap sebarang ketidakpatuhan,” katanya.
“Oleh yang demikian, keputusan untuk memilih U Mobile sebagai penyedia Rangkaian 5G Kedua Malaysia adalah tidak bertentangan dengan syarat khas lesen bagi suatu lesen individu,” katanya.
Katanya, U Mobile juga komited untuk melaksanakan Rangkaian 5G Kedua Malaysia dengan bekerjasama pelbagai pihak berkepentingan, termasuk syarikat telekomunikasi lain.

































