Max Verstappen menjulang trofi kemenangan Grand Prix Brazil di Sao Paulo, semalam.
SAO PAULO: Pelumba Red Bull, Max Verstappen menjawab pengkritik dengan meraih kemenangan di Grand Prix (GP) Brazil, semalam yang mana dia menyifatkan antara terbaik dalam karier Formula Satu (F1).
Menurut Utusan Malaysia, juara dunia tiga kali itu memandu penuh emosi atas litar basah di Interlagos walaupun kesal bermula di petak 17 sebelum menamatkan perlumbaan dengan gembira.
“Saya pun tidak tahu hendak bermula dari mana, kerana emosi saya hari ini hampir memusnahkan garaj pada awalnya sebelum memenangi perlumbaan.
“Saya sangat bermotivasi untuk mendapatkan perlumbaan yang baik dan hanya membiarkan perlumbaan berjalan dengan lancar dan melihat apa yang berlaku. Ini kerana dalam perlumban basah, sentiasa beberapa perkara gila boleh berlaku,” kata Verstappen.
Kemenangan itu membolehkan pemandu Belanda itu menjauhkan jurang kedudukan dalam kejuaraan kepada 62 mata daripada pencabar terdekat, Lando Norris daripada pasukan Mclaren.
Sementara itu, bos Red Bull, Christian Horner yang tidak putus memberi pujian mengakui pemanduan Verstappen amat luar biasa.
“Beliau (Verstappen) berada dalam liganya sendiri. Saya fikir sebagai satu pasukan kami mendapat semua panggilan dengan betul dan kereta itu mempunyai kelajuan yang hebat.
“Satu pemanduan yang luar biasa. Untuk datang dari petak ke-17, pagi ini (semalam) ia merasakan segala-galanya bertentangan dengan kami tetapi dia mengubahnya,” kata Horner.
































