LONDON: Penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah memberi bayangan akan meninggalkan The Reds pada hujung musim ini selepas meraih pelbagai kejayaan bersama kelab itu.
Menurut Utusan Malaysia, Salah berkata, dia tidak akan melupakan perasaan seronok menjaringkan gol di Anfield, tidak kira apa yang berlaku selepas ini (merujuk kepada ‘gosip’ perpindahannya).
Salah memastikan Liverpool berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan jaringan kemenangan ketika meraih kemenangan 2-1 ke atas Brighton, Sabtu lalu.
Jaringan kesembilan pemain berusia 32 tahun itu musim ini membuktikan betapa penting dirinya untuk Liverpool yang sedang memburu gelaran liga pertama sejak 2020.
Bagaimanapun, masa depan Salah masih tidak pasti kerana kontraknya akan tamat pada akhir musim ini dengan pengurusan The Reds juga mengambil sikap berdiam diri.
Salah akan dibenarkan berunding dengan kelab bukan England mulai Januari depan, dan dia menimbulkan spekulasi mungkin sudah bersedia untuk meninggalkan kelab itu.
“Berada di puncak carta liga adalah tempat yang sepatutnya untuk kelab ini. Semua pasukan memenangi perlawanan tetapi hanya ada satu juara pada akhirnya. Itulah yang kami mahukan.
“Terima kasih atas sokongan anda. Tidak kira apa yang berlaku, saya tidak akan lupa bagaimana rasanya menjaringkan gol di Anfield,” katanya Salah di laman sosialnya.
Dibayar sekitar 350,000 pound (RM1.9 juta) seminggu, Salah mendedahkan, selepas kemenangan 3-0 Liverpool ke atas Manchester United awal musim ini bahawa dia belum dihubungi oleh kelab mengenai kontrak baharu.
“Sejujurnya, ketika datang ke perlawanan ini, saya berfikir mungkin ini kali terakhir (bermain di Old Trafford),” kata Salah.
Turut berada dalam situasi yang sama bersama Salajh ialah kapten yang juga pemain pertahanan, Virgil Van Dijk dan Trent Alexander-Arnold, yang akan tamat kontrak pada akhir musim ini.
































