LONDON: Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) mengesan kes pertama varian baharu mpox, clade Ib melibatkan seorang pesakit yang mengunjungi negara Afrika.
Menurut Utusan Malaysia, UKHSA bagaimanapun berkata, risiko kepada populasi umum masih kekal rendah.
Pihaknya kini memantau kontak rapat pesakit bagi mengawal penyebaran varian tersebut.
Varian clade Ib adalah jenis baharu virus mpox yang diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Ogos lalu, selepas wabak di Republik Demokratik Congo merebak ke negara-negara jiran di Afrika.
Sebelum ini, kes-kes varian mpox clade Ib dilaporkan di Burundi, Rwanda, Uganda, Kenya, Sweden, India dan Jerman.
Varian ini berbeza daripada clade II yang merebak pada 2022, terutamanya dalam kalangan lelaki yang mengadakan hubungan sesama jenis.
Mpox adalah jangkitan virus yang biasanya menyebabkan simptom seperti selesema dan luka bernanah yang boleh membawa maut.
Clade Ib dipercayai menyebabkan penyakit yang lebih teruk berbanding clade II.
Kedua-dua varian boleh disebarkan melalui kontak fizikal rapat, termasuk melalui kontak seksual.


























