Peto (kiri) dan Jeffrey (kanan) bersama gegantung streamer HPPNS 2024.
KOTA KINABALU: Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sabah (HPPNS) 2024 hargai sumbangan petani, penternak dan nelayan dalam menjana ekonomi.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata, selain menghargi jasa petani, penternak dan nelayan penganjuran tersebut turut menjadi sumber maklumat dan perkembangan terkini berkaitan perladangan dan pertanian.
“Sambutan yang bertemakan “Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan” itu diadakan bagi menghargai sumbangan petani, penternak dan nelayan terhadap ekonomi negeri serta memperkenalkan produk-produk pertanian tempatan kepada pasaran yang lebih luas.
“Disamping itu acara ini juga menawarkan tempat dan peluang kepada usahawan untuk mempamerkan produk mereka kepada pelabur yang berminat dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan tempatan.
“Objektif penganjuran sambutan ini adalah untuk memberi pendedahan dan maklumat kepada orang ramai mengenai perkembangan terkini sektor perladangan dan pertanian,” Ujarnya dalam Sidang Media HPPNS 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Rabu.
Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan memaklumkan, HPPNS 2024 diadakan di dataran SICC bermula 1 hingga 3 November dan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor Jumaat ini.
Sementara itu Timbalan Setiausaha Tetap (Pengurusan) Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) Maria @Marcella David Edick mengajak orang ramai datang memeriahkan kerana pelbagai acara diadakan sepanjang program berlangsung.
“Sepanjang sambutan jawatankuasa penganjur turut mengadakan pertandingan bagi Peladang Jaya, Penternak Jaya, Nelayan Jaya dan Kelompok Jaya selain Konvensyen Peladang serta pertandingan hasil -hasil pertanian peringkat ladang.
“Turut diadakan adalah Konsert HPPNS, Festival Agromakanan Sabah, pertandingan nyanyian, cabutan pengunjung bertuah dan mewarna kanak-kanak dijangka antara tumpuan umum suasana sepanjang sambutan HPPNS 2024 berlangsung.
“Saya menyeru kepada masyarakat sekitar untuk sama-sama hadir menjayakan program ini sebagai tanda sokongan dalam memperkukuh kedudukan sektor pertanian, perikanan, dan penternakan sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negeri,” katanya.
Hadir sama, Pembantu Menteri MAFFI Datuk Peto Galim serta Setiausaha Tetap MAFFI Datuk Leonard Stephen Poyong.