Dr. Joachim (empat dari kanan) menyampaikan sijil Johan Pertandingan Laman Landskap PBT bertemakan ‘Instagrammable Art Deco’ kepada Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tambunan, Rizal Maulah sambil disaksikan oleh Isnin (tiga dari kiri), Jonnybone (tiga dari kanan) dan Dr. Jamili (dua dari kiri).
KOTA KINABALU: Kolaboratif yang erat antara para profesion professional seperti arkitek landskap, arkitek, jurutera dan perancang bandar dengan agensi-agensi kerajaan mampu merangka dan melaksanakan projek-projek landskap yang lebih inovatif, mesra alam dan tahan lama.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, masanya telah tiba untuk mereka mula mengintegrasikan prinsip-prinsip landskap mampan ke dalam setiap projek pembangunan, tidak kira besar atau kecil.
Pada masa yang sama, katanya, pihak Kerajaan dan badan-badan profesional juga perlu memainkan peranan penting dalam menyokong industri landskap dengan menyediakan peluang latihan, insentif dan sokongan yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan seni bina landskap di negeri ini.

Dr. Joachim menyampaikan ucapan perasmian SLAD 2024.
“Kolaboratif antara sektor pendidikan, industri dan Kerajaan amat penting dalam memastikan landskap Sabah terus berkembang seiring dengan keperluan masa hadapan,” katanya ketika merasmikan Hari Seni Bina Landskap Sabah (SLAD) 2024 di Taman Awam Teluk Likas, di sini, hari ini.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), turut menekankan kepentingan pendidikan dan kesedaran dalam seni bina landskap.
Katanya, program seperti SLAD ini memainkan peranan yang amat penting dalam memberikan pendedahan kepada orang ramai, terutamanya generasi muda, mengenai bidang ini.

Dr. Joachim (tengah) bergambar kenangan dengan sebahagian tetamu dan PBT yang mengambil bahagian dalam SLAD 2024, di Taman Awam Teluk Likas, hari ini.
“Kita perlu menggalakkan lebih ramai anak-anak muda untuk menceburi bidang seni bina landskap kerana mereka adalah masa depan kita.”
Beliau berkata, penganjuran program oleh Kementerian ini akan diperluaskan lagi agar penggiat industri landskap tempatan mempunyai platform untuk lebih berkembang dan kesan hiliran mampu menjadi salah satu sumber pendapatan baharu yang penting kepada Sabah.
“Saya percaya dengan adanya platform seperti ini boleh membantu industri landskap di Sabah berkembang lebih jauh ke hadapan,” katanya.

Dr. Joachim menurunkan tandatangan sebagai kenang-kenangan semasa mengadakan lawatan ke Laman Landskap Majlis Daerah Lahad Datu.
Menurut beliau, SLAD 2024 bukan sahaja sekadar program kolaboratif di antara tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak, tetapi turut mendapatkan perkongsian dari ahli professional luar negara iaitu daripda Singapura dan Thailand.
“Sempena SLAD 2024, Sabah Landscape Exchange telah menyentuh topik berkaitan “Nature Based Solutions”, iaitu adalah strategi untuk menjaga keseimbangan antara pembangunan manusia dan kelestarian dengan memanfaatkan pendekatan secara alami.
“Melalui perkongsian dan interaktif dua hala ini, kita berharap dapat mencari kaedah atau pendekatan secara semulajadi untuk menangani masalah seperti banjir, tanah runtuh dan pada masa yang sama meningkatkan kualiti konservasi, pemulihan persekitaran yang didiami,” ujarnya.

Dr. Joachim (dua dari kiri) menyampaikan sijil Johan Pertandingan Laman Landskap PBT kepada Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tambunan, Rizal Maulah (empat dari kanan) semasa mengadakan kunjungan ke Laman landskap itu.
Beliau merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada jawatankuasa pelaksana yang telah berusaha keras dalam penganjuran program ini.
KKTP memainkan peranan utama dalam merangka polisi yang menyokong pembangunan mampan di negeri ini termasuklah usaha-usaha untuk mempromosikan agenda landskap mampan di Sabah. Ini termasuklah mengintegrasikan prinsip-landskap mampan ke dalam pelan perancangan bandar dan luar bandar, menaik taraf persekitaran komuniti agar lebih kondusif dan membangunkan lebih banyak projek HIJAU.
“Antara usaha yang amat saya hargai ialah perlaksanaan projek-projek landskap seperti pembinaan dan menaik taraf taman awam, menaik taraf kawasan lapang dan ruang hijau di kawasan-kawasan bandar sama ada menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri. Melalui usaha-usaha ini, kepentingan landskap bukan sahaja memperbaiki kualiti persekitaran fizikal, tetapi memberikan kesejahteraan sosial kepada kehidupan masyarakat,” kata Dr. Joachim.
Beliau turut memaklumkan bahawa KKTP berhasrat untuk membawa Sabah ke International Federation of Landscape Architecture (IFLA) World Congress di Perancis tahun hadapan bagi membuat tawaran sebagai tuan rumah IFLA 2031.
“Dengan aset yang ada pada Sabah, sebagai negeri yang indah, kaya dengan aset sumber semulajadi, saya percaya kita mampu mempromosikan lagi keindahan negeri ini di mata dunia dan akan mendapat manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri dengan penganjuran tersebut.”
Turut hadir, Pembantu Menteri I, Datuk Isnin Haji Aliasnih; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Setiausaha Politik I Menteri KKTP; Datuk Jonnybone Kurum; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian I dan II; Stanley Chong (Perancang Bandar) dan Faridah Giau; serta Landscape Architect (LAr) Nurulhayati Awang More, Ketua Penolong Setiausaha (Landskap) merangkap Pengerusi Penganjur SLAD 2024.
































