Pemain-Pemain Sabah FC meraikan jaringan dilakukan Joao Pedro pada aksi Liga Super berdepan Kedah di Stadium Likas, semalam.- Ihsan Sabah FC
PETALING JAYA: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berharap keputusan secara konsisten akan terus dicatat pasukannya dalam setiap perlawanan.
Menurut Utusan Malaysia, kemenangan besar 5-2 ke atas Kedah Darul Aman(KDA) FC di Stadium Likas, semalam, nyata memberi kegembiraan kepada Kim Swee selepas menyaksikan anak buahnya melebarkan rekod tiga kemenangan berturut-turut ke atas lawan dari utara bermula dengan Perak FC dan Penang FC.
Rekod 13 gol dihasilkan dalam ketiga-tiga perlawanan itu juga membuktikan jentera serangan Sabah FC cukup tajam.
“Ianya satu keputusan yang cukup baik tetapi kita bukanlah mendapat laluan yang mudah kerana mereka mengawal permainan dengan baik dan kita gagal mengekalkan rentak apabila mendahului sehingga kita mendapat gol ketiga dan keempat.
“Di sini kita harus perbaiki di mana saya belum berpuas hati dengan gol yang dibolosi di mana kita perlu perbaiki dan elakkan pada perlawanan-perlawanan yang akan datang.
“Jika dilihat jumlah gol yang dijaringkan dari tiga perlawanan, kita tidak berharap pada seorang tetapi semua pemain boleh menjaringkan gol dan ini sudah tentu memberikan banyak kelebihan buat Sabah dan gol-gol yang dihasilkan juga berbeza berbanding ketika bertemu Penang FC,” katanya.
Sembilan mata maksimum dari tiga perlawanan menyaksikan Sabah kini mengumpul 23 mata dan hanya ketinggalan tiga mata dari pasukan tempat kedua, Selangor FC.
Begitupun, Kim Swee mengakui masih terlalu awal buat Sabah untuk memikirkan tentang kedudukan dalam liga.
“Masih lagi awal dan baru pertengahan musim. Untuk kita kekalkan atau perbaiki kedudukan, kita perlu konsisten.
“Saya ingin tumpukan dari satu perlawanan ke satu perlawanan sebelum memikirkan sama ada tempat pertama, kedua atau ketiga tetapi apa yang penting kita perlu pastikan beraksi secara konsisten dalam setiap perlawanan untuk dapatkan keputusan yang baik,” ujarnya.
Pada perlawanan itu, Joao Pedro meledak dua gol dan Saddil Ramdani, S.Kumaahran dan Gary Steven Robbart masing-masing menyumbang satu jaringan.
Sabah selepas ini akan berdepan Kelantan Darul Naim FC pada Ahad depan.