Pasangan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
PETALING JAYA: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia mensasarkan untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir dalam tiga kejohanan terakhir bagi memburu tiket ke Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China pada Disember ini.
Menurut Utusan Malaysia, Aaron dan pasangannya, Soh Wooi Yik dijadual menyertai Korea Masters, Jepun Masters dan China Masters dengan ketiga-tiga kejohanan itu berlangsung pada November ini.
Gandingan negara itu perlu mengutip mata penting untuk melayakkan mereka beraksi di Hangzhou yang menampilkan lapan gandingan terbaik dalam ranking kelayakan beraksi di kejohanan tersebut.
“Ada keyakinan juga tetapi seperti yang saya katakan, masih ada jurang lagi dalam pungutan mata jadi kami harap dapat lakukan yang terbaik dalam tiga kejohanan terakhir ini.
“Saya fikir ia mencukupi. Kami semakin baik. Wooi yik masih baru pulih daripada kecederaan dan masih berada dalam jaga-jaga walaupun dia tidak berasa sakit,” katanya ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.
Terdahulu, gandingan yang meraih gangsa di Olimpik Paris, Ogos lalu tidak beraksi di Terbuka Jepun dan Terbuka Korea Selatan pada Ogos lalu susulan kecederaan yang dialami Wooi Yik.
Dalam pada itu, Aaron berkata laporan yang mendakwa beberapa pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menuntut gaji sehingga RM2 juta setahun sebagai khabar angin.