Dr. Dzulkefly Ahmad
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan ada individu mengambil kesempatan mengaku sebagai pesakit mental untuk terlepas hukuman selepas terlibat jenayah.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu dilihat sangat serius kerana boleh diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk melakukannya secara kerap.
“Saya kira ini suatu kebejatan (kerosakan). Insiden sedemikian mungkin menjadi lebih kerap dan salah guna kad (berkaitan kesihatan mental) pastinya perlu diteliti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 di sini, semalam.
Sehubungan itu, jelas beliau, KKM akan meneliti untuk meminda perundangan sedia ada berkaitan kesihatan mental sekali gus mengekang salah laku khususnya kes jenayah membabitkan pesakit mental.
Menurutnya, beliau sendiri bimbang kerana perlakuan jenayah membabitkan golongan tersebut dilihat kian serius.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu perlu diperhalusi sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan.
“Semua ini (pindaan undang undang) memerlukan penelitian lebih cermat dan kita pastinya akan membuat perbincangan dalam mesyuarat pasca-Kabinet.
“Kita juga akan merujuk ke pada penasihat perundangan kementerian. Masih teralu awal untuk membincangkan perihal pindaan sebarang perundangan berkaitan.
“Pastinya kes ini adalah serius dan akan melihat secara menyeluruh termasuk keperluan pindaan perundangan atau sebagainya.
“Apa yang mustahak adalah untuk memahami setiap kes terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, kebimbangan masyarakat berhubung sesuatu jenayah membabitkan individu didakwa mengalami masalah kesihatan mental mungkin kerana ketiadaan pembelaan wajar terhadap mangsa dan keluarganya.































