JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dilaporkan akan membawa anggota kabinetnya bermalam selama tiga hari dari 25 hingga 27 Oktober ini di sebuah akademi tentera di kawasan pergunungan dengan kesemuanya akan tidur di dalam khemah.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perlindungan Migran, Abdul Kadir Karding berkata, permulaan luar biasa itu akan diadakan di akademi tentera di Magelang, Jawa Tengah, dikelilingi gunung berapi, kira-kira 500 kilometer di timur Jakarta.
Ia bertujuan untuk menguatkan ikatan kerjasama antara semua menteri kabinet dan timbalan mereka yang terdiri daripada ahli politik, teknokrat, bekas pegawai tentera dan pemimpin agama.
“Prabowo mahu memastikan anggota Kabinet memahami visinya. Jadi lebih mudah untuk kita bekerjasama.
“Prabowo sentiasa menekankan kepentingan kemantapan dalam cara kerja,” kata Abdul Kadir sambil menyatakan pengajaran anti-rasuah akan menjadi sebahagian daripada bahan yang dibincangkan pada sesi istimewa itu.
Lawatan sedemikian bukan perkara baharu bagi Prabowo dan ia mencerminkan gaya kepemimpinannya.
Parti politik Gerindra dilaporkan sering menganjurkan acara serupa di estet Hambalang milik Prabowo yang luas di selatan Jakarta.
Kelmarin, Prabowo dan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka mengumumkan nama menteri dan timbalan menteri dalam komposisi ‘Kabinet Merah Putih’ yang akan membantu menerajui Indonesia untuk lima tahun akan datang.
Pengumuman itu dibuat di Istana Merdeka selepas Prabowo dan Gibran dilantik secara rasmi dalam majlis angkat sumpah jawatan di Kompleks Parlimen, Jakarta, pagi kelmarin.
Kabinet itu terdiri daripada tujuh kementerian penyelaras dan 41 kementerian teknikal.
Walaupun ia terdiri daripada gabungan pelantikan profesional dan politik, kebanyakan menteri berkaitan ekonomi kekal sama seperti di bawah pendahulunya, Joko Widodo (Jokowi).
Dalam senarai yang diumumkan semalam, Kementerian Koordinator Hal Ehwal Politik dan Keselamatan diterajui Budi Gunawan manakala Kementerian Luar diketuai oleh Sugiono.
Prabowo mengekalkan Airlangga Hartarto dalam Kementerian Koordinator Hal Ehwal Ekonomi sementara Kementerian Pertahanan yang pernah diterajui beliau kini diserahkan kepada Sjafrie Sjamsoeddin.
Erick Thohir mengetuai Kementerian Perusahaan Milik Negara sementara Sri Mulyani Indrawati kekal memegang Kementerian Kewangan dan Sanitiar Burhanuddin dilantik sebagai Peguam Negara.