Gary Neville
MANCHESTER: Bekas pemain Manchester United, Gary Neville dilaporkan sudah memulakan peranan selaku duta kelab itu, hanya beberapa hari selepas pengurus legenda, Alex Ferguson, dipecat daripada peranan itu.
Menurut Utusan Malaysia, Ferguson menjadi duta kelab itu selepas menamatkan era 27 tahunnya bersama United dengan beliau dilaporkan menerima bayaran 2.16 juta pound (RM12.13 juta) setahun dalam kesepakatan yang berterusan lebih sedekad.
Bagaimanapun, pengurus legenda berusia 82 tahun itu kehilangan kontrak berkenaan selepas perbincangan bersama pemilik minoriti United, Jim Ratcliffe yang mahu menamatkan kontraknya pada hujung musim ini.
Keputusan berkenaan merupakan usaha pengurangan kosoleh Ratcliffe sejak INEOS mengambil alih operasi bola sepak pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.
Akhbar United Kingdom, The Sun, melaporkan pertahanan legenda United, Neville yang pernah beraksi 602 kali untuk kelab itu sudah memulakan tugas selaku duta The Red Devils secara separuh masa.
Neville dilaporkan menjadi panel di Akademi Minerva di Mohali, India dan turut berkongsi gambar perjalanannya di sana, di mana dia menghadiri program bola sepak akar umbi utama Apollo Tyres.
Dia juga menjadi sebahagian daripada pasukan petugas stadium United pada ketika Ratcliffe sedang meneliti cadangan untuk membina sebuah stadium baru.
Tujuan utama Ratcliffe memecat Ferguson adalah kerana mahu mengurangkan kos, namun dia masih berkhidmat sebagai ahli pengarah bukan eksekutif dan terus dijemput menghadiri perlawanan.
Ferguson, 82, memenangi 38 trofi bersama United termasuklah 13 kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dua gelaran Liga Juara-Juara sepanjang tempoh 27 tahun sebagai pengendali United.
Langkah penjimatan United turut menyaksikan 250 kakitangan pasukan dipecat pada bulan lalu selain membatalkan kereta peribadi kakitangan kanan dan mengurangkan keistimewaan makan tengah hari pada hari perlawanan.