BANGKOK: Penemuan empat spesies baharu tumbuhan berbunga dari genus Microchirita telah mengejutkan dunia botani, dengan salah satu spesiesnya menyerupai wajah monyet.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan Thailand (DNP), Atthapol Charoenchansa berkata, penemuan tersebut telah diterbitkan dalam Jilid ke-52 Thai Forest Bulletin (Botany) dan boleh diakses dalam talian sejak 8 Oktober lalu.
Tambah beliau, keempat-empat spesies baharu itu ditemui di kawasan pergunungan batu kapur di Saraburi, Rayong dan Lopburi.
“Penemuan yang paling menarik ialah Microchirita simia, di mana bunga berwarna ungu dan kuningnya menyerupai muka monyet,” katanya.
Spesies ini ditemui di daerah Muang, Lopburi, dan diberi nama tempatan ‘Yad Vanom Pak’, yang bermaksud ‘titisan embun wajah monyet’.
Selain itu, spesies Microchirita radiata ditemui di selatan Thailand mempunyai bunga yang tersusun secara radiasi unik, manakala Microchirita puglisiae, dikenali dengan daunnya yang panjang dan sempit, ditemui di utara negara itu.
Satu lagi spesies yang ditemui ialah Microchirita orathaiae, yang ditemui di daerah Khao Chamao, wilayah Rayong.
Ia dinamakan sempena Orathai Kerdkaew, seorang ilustrator yang menyumbang kepada projek Flora of Thailand.
Atthapol berkata, penemuan keempat-empat spesies ini merupakan sebahagian daripada projek Flora of Thailand yang dijalankan oleh para penyelidik DNP.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan keempat-empat spesies baharu itu berada di ambang kepupusan kerana hanya boleh hidup dalam keadaan tertentu, menjadikan pemeliharaan pergunungan batu kapur tempat ia ditemui sebagai sesuatu yang amat penting.


































