Gobind Singh Deo melakukan gimik perasmian diiringi oleh Pengerusi MDEC, Tuan Syed Ibrahim Syed Noh (dua kanan) ketika merasmikan Malaysia Digital Content Festival 2024 (MYDCF) Biz Day di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR: Malaysia kini menjadi rumah kepada lebih 300 studio kandungan digital, dengan lebih 180 harta intelek asli dalam animasi dan permainan video, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, pada 2022, industri kreatif digital menjana RM6.3 bilion dalam hasil dengan eksport mencecah RM850 juta dan menyokong lebih 11,000 pekerjaan.
“Industri ini juga menarik pelaburan sebanyak RM1.6 bilion daripada studio bertaraf tinggi seperti Xsolla dan ESL Gaming pada tahun 2023.
“Ini menekankan potensi besar sektor ini untuk menjana pekerjaan bernilai tinggi dan memberi sumbangan yang signifikan kepada ekonomi kita,” katanya dalam ucaptama pada pelancaran Festival Kandungan Digital Malaysia (MYDCF) Biz Day 2024, di sini semalam.
Menurut Gobind, negara ini telah mencatat pencapaian besar dalam sektor animasi dengan Kucingko Bhd. menjadi syarikat produksi animasi tempatan pertama yang disenaraikan di bursa saham Malaysia.
“Permintaan terhadap produk dan perkhidmatan kreatif digital semakin meningkat, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
“Saiz pasaran teknologi kreatif global juga dijangka mencecah AS$687.4 bilion (kira-kira RM2.89 trilion) menjelang 2027, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 9.97 peratus antara 2020 hingga 2027,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama dengan beberapa pihak, termasuk Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam projek untuk mendigitalkan hampir 50 pergerakan tarian tradisional.
“Dengan memanfaatkan Platform IP360 Metaverse, kami berhasrat untuk mewujudkan usaha kerjasama untuk membawa aset budaya ini kepada khalayak yang lebih luas. Platform IP360 Metaverse akan dibuka kepada orang ramai menjelang akhir tahun ini.
“Ini akan membolehkan pengguna merasai sendiri platform tersebut. Langkah ini juga akan meletakkan asas untuk potensi komersialisasi jangka panjang platform tersebut dan ia hanyalah permulaan,” katanya.
Tambahnya, laporan oleh Meta dan Deloitte menganggarkan bahawa Metaverse akan menyumbang kira-kira AS$3.01 trilion (RM12.69 trilion) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global pada 2031.
“Daripada jumlah itu, impak metaverse terhadap rantau Asia Pasifik dianggarkan antara AS$800 bilion (RM3.37 trilion) hingga AS$1.4 trilion (RM5.90 trilion) setahun menjelang 2035,” katanya.


































