Isu buli melibatkan pegawai perubatan antara yang didakwa masih berlaku di institusi kesihatan.
PUTRAJAYA: Sekumpulan doktor pelatih di sebuah hospital daerah di utara Semenanjung mendakwa menjadi mangsa buli dengan bebanan kerja melampau.
Menurut Utusan Malaysia, doktor pelatih berkenaan yang mahu dikenali sebagai Dr. A memberitahu, mereka dipaksa bekerja melebihi waktu kerja sepatutnya dan pernah bertugas sehingga 24 jam sehari, tidak termasuk dipanggil bekerja (on call) tanpa mengira waktu.
Katanya, keadaan itu berlaku kerana hospital terbabit kekurangan kritikal pegawai perubatan yang terpaksa diambil tugas kumpulan doktor pelatih walaupun masih dalam tempoh latihan perubatan.
“Saya pernah jatuh sakit dan terpaksa menjalani rawatan di wad, dan perlu mengambil cuti sakit.
“Disebabkan mengambil cuti sakit, kita dipaksa mencari pengganti dan sebagai ‘denda’ tempoh latihan housemanship dilanjutkan selama mana tempoh cuti sakit itu,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, mereka sering dimaki hamun oleh pegawai perubatan senior termasuk jururawat jika ada kes pesakit yang di luar kuasa doktor pelatih.
Katanya, doktor pelatih mempunyai hak kelayakan cuti tahunan sebanyak lapan hari dalam tempoh empat bulan (satu pusingan kerja) dan layak untuk mendapat cuti ganti jika bekerja pada hari cuti umum, tetapi mereka amat sukar untuk mendapat kelulusan cuti.
“Saya seorang yang sangat berani dan aktif, tetapi selepas menjadi doktor pelatih, karakter saya berubah menjadi penakut untuk bersuara dan mengalami tekanan sehingga ada perasaan ingin membunuh diri.
“Saya pernah menangis banyak kali kerana tidak tahan dimaki dengan perkataan yang tidak sepatutnya jika ada kes pesakit meninggal ketika masa kita bertugas,” katanya.
Menurut beliau, ada dalam kalangan doktor pelatih di hospital itu membuat keputusan drastik untuk berhenti daripada menjalani latihan housemanship walaupun tindakan itu boleh menjejaskan kelayakan mereka untuk bergelar doktor.
“Kumpulan saya ramai berhenti kerana tidak tahan dengan tekanan dan persekitaran kerja yang toksik.
“Kami pernah membuat aduan kepada pengarah jabatan, namun isu ini seolah didiamkan tanpa tindakan,” katanya.
Dalam hal ini, beliau mahu isu doktor pelatih dibuli dengan bebanan tugas berlebihan diambil serius oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana ia boleh memusnahkan bakat anak muda dalam bidang perubatan.
Ia apatah lagi isu kekurangan petugas kesihatan dalam sektor kerajaan mengakibatkan berlaku krisis kesihatan serius di negara ini.
“Kami doktor pelatih juga manusia biasa bukannya mesin, yang ada keluarga dan tanggungjawab serta memerlukan rehat, makan dan tidur yang secukupnya demi menyelamatkan nyawa pesakit.
“Manusia biasa tidak boleh bekerja melebihi 20 jam sehari dengan hanya diberi masa tiga jam sahaja untuk rehat. Ini soal kebajikan dan nyawa kami,” katanya.

































