PETALING JAYA: Ringgit mengekalkan momentum pertumbuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila mencapai paras tertinggi baharu bagi tempoh hampir 37 bulan atau sejak September 2021.
Menurut Utusan Malaysia, pada 5 petang semalam, mata wang negara naik kepada 4.1350/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1470/1570 ketika ditutup pada Selasa.
Pada sesi dagangan awal, ringgit dibuka tinggi pada 4.1070/1170 berbanding dolar AS dan kali terakhir mencapai paras tersebut adalah pada Mei 2021.
Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya. Dr. Norlin Khalid berkata, pengukuhan ringgit itu dipengaruhi oleh keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS yang menurunkan kadar faedah hingga 50 mata asas baru-baru ini.
“Secara umumnya, kadar faedah yang diturunkan telah memberikan ruang kepada perbelanjaan pengguna meningkat di AS, sekali gus memberi kesan kepada data kadar pengangguran.
“Bagaimanapun, pelabur di AS yang memegang kertas hutang akan menerima manfaat daripada kadar faedah yang lebih rendah.
“Justeru itu, pelabur ini telah menarik keluar pelaburan mereka dari AS dan seterusnya memindahkan portfolio tersebut ke negara membangun termasuk Malaysia, sekali gus memberikan ruang kepada ringgit untuk terus mengukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut beliau, terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada pengukuhan mata wang tempatan itu.
“Antaranya, prestasi ekonomi negara yang kukuh pertumbuhan seperti 5.3 peratus dalam Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada Julai 2024, menunjukkan ekonomi negara berada di landasan yang baik.
“Beberapa langkah kerajaan, seperti rasionalisasi diesel pada Jun 2024 dan pengenalan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada Disember 2024 juga telah meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong pengukuhan ringgit.
“China juga melonggarkan dasar monetarinya dengan menurunkan kadar faedah, terutamanya untuk sektor hartanah yang memberi kesan positif kepada mata wang serantau seperti ringgit, kerana China merupakan rakan dagang utama Malaysia.
“Di peringkat global, perkembangan politik AS khususnya pilihan raya presiden, mempengaruhi nilai dolar AS. Ketidaktentuan ini membuat pelabur beralih ke mata wang yang lebih stabil, termasuk ringgit,” katanya.
Beliau turut menjangkakan ringgit boleh mencecah di bawah paras RM4.00 jika Fed AS terus menurunkan kadar faedah lebih daripada jangkaan atau bank pusat negara lain turut menurunkan kadar faedah, sementara Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar Kadar Dasar Semalaman (OPR).
“Ini juga dipengaruhi oleh faktor teknikal pergerakan ringgit.
“Bagaimanapun, anggaran dalaman saya dengan mengambil kira faktor asas dan teknikal, nilai yang wajar bagi ringgit pada masa ini ialah sekitar RM4.25 ke RM4.30 berbanding dollar AS.
“Sekiranya ringgit terlalu mengukuh dalam masa yang mendadak tanpa sebarang faktor ekonomi yang kukuh sebagai asas Malaysia mungkin hilang daya tarikan eksport.
“Ini kerana faktor harga import oleh negara lain yang semakin mahal, sekali gus memberi kesan yang ketara iaitu pendapatan bagi sektor berorientasikan eksport,” katanya.


































