Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
TAWAU: Dua orang cedera dan dua lagi selamat selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka merempuh sebuah rumah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Haji Mat Tahir, Kampung Beruang di sini, petang tadi.
Sebelum itu, kenderaan jenis Isuzu Bighorn itu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Perodua Alza.
Yang cedera ialah wanita berusia 40 tahun dan budak lelaki berusia 6 tahun, manakala yang selamat ialah lelaki berusia 68 tahun dan budak perempuan, 7 tahun.
Pemandu Perodua Alza, lelaki berusia 25 tahun juga dilaporkan selamat.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.02 petang dan sepasukan sembilan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Sulaiman Md. Salleh dikejarkan ke lokasi.
Setiba di lokasi, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dan memberi rawatan awal seterusnya mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.