KOTA KINABALU: Sebagai semangat Sambutan Hari Malaysia, Care Group Kota Kinabalu Seventh-day Adventist Church, Likas, menganjurkan program sukan riadah bertemakan “Riadah Bersama Sahabat” di Borneo Sports Area, Kolombong.
Program tersebut bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara belia dan pemimpin gereja sambil mempromosikan gaya hidup sihat.
Pengerusi penganjur, Gumbai Salagan berkata, selain daripada merapatkan hubungan silaturahim, aktiviti ini juga memberi penekanan kepada kepentingan gaya hidup aktif.
“Syukur kerana aktiviti riadah pada hari ini berjalan dengan baik. Setiap pasukan telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi. Harapan kami adalah untuk terus menganjurkan aktiviti seperti ini yang bukan sahaja dapat menguatkan hubungan silaturahim tetapi juga memberi peluang kepada semua untuk kekal aktif dan sihat,” katanya.
Gumbai turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk AJK, peserta, dan penonton.
Dalam pertandingan tertutup itu, pasukan Barcelona Kins muncul juara kategori lelaki, manakala Tanakwagu FC, Slow-Slow, dan Ogirot masing-masing meraih tempat kedua, ketiga, dan keempat. Untuk kategori wanita, pasukan Rombituon meraih gelaran juara, diikuti oleh pasukan Buluntung dan Job Wings di tempat kedua dan ketiga.
Crestment Bailon dari Tanakwagu FC dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kategori lelaki dengan 11 gol, sementara Wellyvera Jully dari pasukan Buluntung adalah penjaring terbanyak kategori wanita dengan 4 gol.
Penganjur juga merakamkan penghargaan kepada Francis Au yang hadir semasa pembukaan perlawanan dan Steve Johnny Mositun, Pengerusi KDCA Youth Council, yang menyempurnakan acara penutupan.


































