Azalina Othman Said
PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal-hal berkaitan penindasan melibatkan kanak-kanak.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, anak-anak merupakan generasi penerus Malaysia dan kesejahteraan mereka merupakan tanggungjawab bersama.
“Saya amat berdukacita dan mengutuk sekeras-kerasnya kes 402 orang kanak-kanak yang didakwa menjadi mangsa jenayah seksual serta dieksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata beliau, walaupun kes ini masih dalam siasatan, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kepada isu kanak-kanak, Kerajaan Madani telah melaksanakan pelbagai langkah dan inisiatif termasuk pindaan kepada Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak yang telah diluluskan dalam sidang Parlimen lalu.
Jelasnya, pindaan ini adalah bertepatan kerana ia memperuntukkan kekompetenan saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding, selain meniadakan keperluan keterangan sokongan mandatori.
“Kerajaan Madani memberi penekanan serius dan komited terhadap isu yang melibatkan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak dan tidak akan berkompromi dalam hal-hal penindasan terhadap golongan ini kerana anak-anak inilah generasi penerus Malaysia dan kesejahteraan mereka adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Pada Khamis, polis yang melaksanakan ‘Op Global’ menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun dari 20 rumah amal yang didakwa dikendalikan oleh ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH).
Operasi itu dijalankan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.


































