PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengeluarkan makluman penarikan semula kira-kira 35,000 kenderaan melibatkan Toyota, Suzuki (Motosikal), Mercedes-Benz dan Honda (Motosikal).
Menurut Utusan Malaysia, dalam hantaran di Facebook hari ini, JPJ menyenaraikan 24,345 Toyota model Vios (model keluaran Mac 2023 hingga February 2024); 205 unit motosikal Honda CBR250RR CBR250S3A (model 2022); 220 unit motosikal Suzuki V-STROM800DE (model 2023); 125 unit motosikal Suzuki Burgman Street Ex (model 2024) dan pelbagai model kenderaan keluaran Mercedez Benz.
Menurut JPJ, aktiviti pemanggilan semula produk tersebut penting bagi mengelakkan kemalangan disebabkan oleh kecacatan pada struktur atau peralatan yang ada pada kenderaan tersebut.
“Pihak pengeluar akan menghubungi pemilik-pemilik kenderaan berkenaan untuk membuat penetapan tarikh temu janji serta membawa kenderaan untuk pemeriksaan dan menjayakan aktiviti pemanggilan semula yang dilaksanakan ini.
“Keselamatan kenderaan juga penting bagi menjamin pemanduan dan keselesaan pemilik semasa dalam perjalanan. Semestinya pemilik tidak mahu memandu kenderaan dengan masalah teknikal yang berpotensi mengancam nyawa. Pengeluar akan membuat pemulihan tanpa kos kepada pemilik.
“Kerjasama antara pemilik-pemilik kenderaan dan juga pengeluar diharapkan dapat menjayakan aktiviti pemanggilan semula ini dalam tempoh yang singkat,” ujarnya.
Senarai penuh jenis kenderaan dan bilangan kenderaan semula kenderaan boleh didapati di Facebook rasmi JPJ.


































