Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka untuk permohonan tahanan reman.
MELAKA: Pengasuh yang dikatakan menekap muka seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri sehingga menyebabkan mangsa maut dalam kejadian di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama dekat sini, Jumaat direman tujuh hari bermula kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, perintah reman sehingga Jumaat dikeluarkan Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri terhadap suspek berusia 34 tahun itu bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh pukul 9.30 pagi tadi dengan diiringi anggota polis.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka kira-kira pukul 3.30 petang Jumaat.
Ujarnya, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada Hospital Alor Gajah yang memaklumkan telah menerima seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mengikut laporan dibuat, mangsa telah dihantar ke taska oleh datuk dan ibunya pada pukul 7.05 pagi, namun pada pukul 9.05 pagi, pihak taska itu menelefon si ibu memberitahu bahawa tubuh badan bayi berkenaan dalam keadaan biru,” katanya.