Hajiji (lima dari kanan) diiringi Presiden Lions Club Tuaran, Kapitan Frankie Goh (lima dari kiri) selepas menyempurnakan gimik perasmian sempena Pesta Tanglung Tuaran 2024.
TUARAN: Kepelbagaian budaya yang ada di Sabah perlu terus diraikan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji
Haji Noor.
Ini kerana kepelbagaian dalam aspek budaya seperti sambutan Pesta Tanglung antara yang telah menjadikan rakyat di negeri ini hidup bersatu padu dan aman, katanya.
“Inilah keunikan dan kehebatan Sabah yang menjadi contoh kepada negeri lain. Kita mempunyai pelbagai perayaan yang kita raikan bersama-sama tanpa mengira kaum dan agama.
“Saya berasa bangga kerana Lions Club Tuaran telah menganjurkan pesta yang cukup hebat dan berharap perayaan yang diwarisi sejak nenek moyang ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan sambutan Pesta Tanglung Tuaran di Padang Astaka Tuaran, di sini malam tadi.
Hajiji juga berharap rakyat akan terus menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) Plus untuk terus membangunkan negeri ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri hari ini akan terus membawa pembangunan kerana ini adalah tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik kepada rakyat.
“Justeru, saya berharap rakyat negeri ini tidak mudah percaya atau terpengaruh dengan fitnah yang dibawa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Sebenarnya, banyak yang telah kita lakukan selepas pandemik Covid-19.
“Kita telah merancang dan melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan
ekonomi rakyat dan negeri ini. Bukan itu saja, malah dalam aspek lain termasuk
pendidikan dan modal insan yang menjadi antara fokus utama Kerajaan Negeri.
“Kita tahu memang ada masalah yang dihadapi termasuk yang diwarisi daripada
penerintahan terdahulu seperti air. Tetapi kerajaan hari ini akan terus melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah-masalah berkenaan. Apa yang penting sokongan daripada rakyat agar Sabah terus maju jaya dalam Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan telah dan akan terus melaksanakan lebih banyak pembangunan dan projek yang menberi manfaat dan kemudahan kepada rakyat negeri ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Presiden Lions Club Tuaran, Kapitan Frankie Goh yang juga Pengerusi Penganjur.