Diaz dan Salah masing-masing meledak satu gol ketiga Liverpool menumpaskan Brentford 2-0, semalam.
LONDON: Arne Slot menghamburkan pujian kepada anak-anak buahnya apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam dua aksi awal Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Menurut Utusan Malaysia, The Reds mencipta kemenangan kedua dalam saingan EPL dengan menewaskan Brentford 2-0 di laman sendiri yang juga merupakan perlawanan pertama Slot di Anfield.
Kejayaan itu juga menyaksikan Slot berjaya memikat hati penyokong Liverpool apabila namanya dilaungkan sebelum dan selepas perlawanan berlangsung.
“Saya fikir penyokong Liverpool melihat persembahan seperti ini di bawah kendalian Jurgen Klopp banyak kali. Saya mahu lihat semua orang berlari dan melakukan segala-galanya untuk elak daripada dibolosi dan kami lakukannya dengan baik pada hari ini.
“Jika anda terus tekun dengan apa yang ada lakukan, pelaksanaan dapat dilakukan dengan lebih baik. Brentford tidak lagi mempunyai tenaga untuk bertahan dengan asakan kami,” katanya.
Beraksi di hadapan 60,000 penyokong, Liverpool mendahului permainan seawal minit ke-13 menerusi jaringan Diaz berpunca daripada gerakan gol Diogo Jota sebelum Salah meledak gol kedua pada minit ke-79.
Bagaimanapun, Slot bakal berdepan ujian sebenarnya pada hujung minggu ini apabila dijadual bertemu dengan seteru utama, Manchester United di Old Trafford.
“Brentford menjadikan hari kami sukar namun saya tidak menjangkakan mereka dalam enam terbaik musim ini jadi kami perlu memperbaiki diri untuk memastikan kami boleh beraksi dengan lebih baik apabila bertemu pasukan yang boleh berada di kelompok enam terbaik,” katanya lagi.
Slot dijangka menyuntik pendekatan yang menumpukan kepada lebih penguasaan bola berbanding apa yang dilakukan Klopp dalam hampir sembilan tahun dia mengendalikan kelab gergasi Inggeris itu.
“Pada babak pertama ada lebih banyak tenaga buat pasukan lawan, jadi pada babak kedua ia menjurus kepada ruang yang terbuka buat kami. Akhirnya Brentford kehilangan tenaga untuk bertahan menentang kami,” katanya lagi
































