Ebit Lew (tengah) diiringi peguam, Ram Singh dan Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak semasa tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Tenom, hari ini.
TENOM: Saksi kesembilan yang juga pengadu memberitahu mahkamah bahawa suaminya tahu dia ada menghantar gambar payudara kepada Ebit Lew pada Mei 2021.
Menurut Utusan Malaysia, saksi memberi keterangan itu semasa menjawab soalan pemeriksaan balas ditanyakan oleh peguam mewakili Ebit, Datuk Ram Singh.
Berdasarkan keterangannya, saksi memberitahu suaminya bahawa dia berikan gambar tersebut kerana Ebit terlalu meminta dan saksi tidak sedar telah terikut dengan arahan Ebit.
“Saya beritahu suami dan suami memang marah pada masa itu, dia tunjuk marah pada Ebit tapi tidak tahu cara macam mana dia mahu jumpa Ebit masa itu, dia betul-betul marah,” katanya semasa sesi pemeriksaan balas di Mahkamah Majistret, hari ini.
Selepas memberitahu suaminya, saksi telah bertindak memadam gambar yang dihantar kepada Ebit itu, namun bukan padam kesemuanya.
Menurut saksi, dia mengakui tindakan menghantar gambar payudara kepada orang yang tidak pernah dijumpai adalah satu kesalahan kepada suaminya.
Saksi juga ada memaklumkan kepada Ebit bahawa dia telah memberitahu perkara tersebut kepada suaminya, namun selepas itu Ebit tetap sama sehingga saksi terpaksa sekat nombor telefon Ebit.
“Saya takut, saya terus terikut permintaan dia. Dari awal saya tidak sekat (nombor) sebab kalau tengok dia bukan orang yang jahat. Mungkin kalau saya tahu dari awal, dia ada personaliti yang macam ini, memang saya sekat.
“Apabila saya sekat (nombor) di telefon, Ebit call melalui Instagram, dia mesej di Instagram. Jadi, saya terpaksa nyahsekat (nombor Ebit),” katanya.
Berdasarkan semua mesej perbualan yang dihantar, saksi turut menafikan bahawa dia menyukai Ebit.
Malah saksi turut menafikan soalan peguam bahawa dia curang kepada suaminya.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin manakala, Ebit diwakili peguam Ram, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak, Kamarudin Mohmad Chinki dan Prem Elmer Ganasan.


































