Hajiji bersama Anwar dan anggota delegasi Malaysia mengadap Sultan Hassanal Bolkiah selepas majlis menandatangani MoU di Istana Nurul Iman hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) Malaysia-Brunei Darussalam menjadi petanda baik untuk penyatuan kerjasama yang saling menguntungkan dan menang-menang antara Malaysia dan Brunei.
Beliau berkata, ini membolehkan kedua-dua negara meneruskan kerjasama meluas dalam konteks hubungan Malaysia-Brunei yang kukuh dan juga Sabah-Brunei.
Ketua Menteri mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke ALC Malaysia-Brunei Darussalam Ke-25, pertemuan peringkat tertinggi kedua-dua negara yang diadakan di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam, hari ini.
Di ALC, pemimpin kedua-dua negara – Brunei yang diketuai oleh Sultan Hassanal Bolkiah, menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman dan Instrumen Dua Hala antara Kerajaan Malaysia dan Brunei Darussalam.
Selain meneroka peluang baharu untuk manfaat bersama, kemajuan kerjasama dua hala sedia ada turut dibincangkan dalam pertemuan itu.
Dalam lawatan itu, Perdana Menteri antara lain diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri
Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan beberapa menteri kanan Persekutuan serta negeri.


































