Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan portal IHSAN MADANI pada Majlis Amanat Bersama Warga Penguatkuasa KPDN dan Pelancaran Portal IHSAN MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, kelmarin.
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap agar kerajaan mempertimbangkan untuk menaik taraf Bahagian Penguat kuasa KPDN kepada jabatan di kementerian berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ia berikutan komponen penguatkuasaan perdagangan dalam negeri dalam sistem kerajaan telah bermula seawal tahun 1972.
Katanya, setelah lebih lima dekad menjadi harapan KPDN agar keberadaan Bahagian Penguat Kuasa ini dapat diperkasakan pada kedudukan dan tempatnya.
“Hari ini kita ada pelbagai komponen penguatkuasaan dalam kerajaan yang bertaraf jabatan dan agensi.
“Kita juga ada badan pengurusan sukarelawa dalam kerajaan yang telah bertaraf jabatan.
“Begitu juga organisasi yang mentadbir urus komunikasi komuniti yang juga menjadi jabatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Bersama Warga Penguatkuasa KPDN dan Peluncuran Portal Ihsan Madani di sini, kelmarin.
Armizan berkata, pihaknya berharap perkara berkenaan akan melalui proses dan pertimbangan oleh Perdana Menteri.
“Kita cukup yakin, dengan mandat Perdana Menteri, Insha-Allah, Ketua Setiausaha Negara bersama Jabatan Perkhidmatan Awam boleh menyus perkara ini sewajarnya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau juga mahu sebahagian daripada hasil rampasan dan penalti melalui aktiviti penguatkuasaan dikembalikan semula kepada KPDN khususnya untuk pembangunan kapasiti Bahagian Penguat Kuasa.
“Kalau tidak pun dalam bentuk tabung, mungkin boleh dikira-kira dalam kaedah Buku 555. Saya yakin Kementerian Kewangan cukup memahami,” katanya.
Selain itu, Armizan turut mengesyorkan kerajaan supaya mempertimbangkan bantuan pembangunan kapasiti Suruhanjaya Persaingan (MyCC) dalam usaha memerangi kewujudan kartel dan monopoli yang bermasalah dengan lebih agresif.
Jelasnya, sejak penubuhan pada 1 April 2011, sehingga kini suruhanjaya terbabit hanya mempunyai seramai 17 pegawai penyiasat.
































