MELAKA: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menggigit hidung jirannya kerana tidak tahan dengan bunyi bising kerja-kerja pengubahsuaian di rumah mangsa, Januari lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Adrienne Liew Siew Wern, 37, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd. Sobri.
Mengikut kertas pertuduhan, Siew Wern dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap jiran lelakinya, Lau Siong Ping, 40, di sebuah rumah di Taman Bunga Raya Bukit Beruang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 6 petang pada 19 Januari 2024.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, berlaku pertengkaran antara tertuduh dengan mangsa susulan bunyi bising akibat kerja-kerja ubah suai rumah.
Bagaimanapun, tertuduh yang masih bujang tidak berpuas hati dan secara tiba-tiba bertindak menyerang mangsa dengan menggigit pada bahagian hidungnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Peguam Cassian Anthony yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnnya perlu menanggung ibu yang menghidap kanser otak dan hanya bekerja sebagai pembantu di sebuah farmasi.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan tarikh 26 September depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
































