MELAKA: Polis menahan seorang remaja lelaki dan wanita di dua lokasi berasingan selepas dipercayai terlibat dalam rakaman video tular di media sosial yang memaparkan perbualan empat individu berkaitan dadah.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, remaja lelaki dan wanita yang berusia 17 dan 18 tahun itu ditahan di Jasin serta Batu Berendam kira-kira pukul 6 petang, Rabu.
Kata beliau, hasil soal siasat mendapati perbualan individu terlibat adalah rentetan daripada sebuah filem ditonton yang memaparkan adegan penyalahgunaan dadah.
“Satu penafian penyalahgunaan dadah telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul semalam (Rabu) oleh seorang wanita berusia 18 tahun yang terlibat sama dalam perbualan tular berkenaan. Polis Melaka turut menahan dua individu lain iaitu seorang lelaki dan wanita di Jasin serta Batu Berendam.
“Wanita berkenaan telah membuat satu laporan polis untuk keselamatan diri kerana menerima kecaman netizen dan klip video tersebut telah ditularkan. Mereka mendakwa perbualan itu adalah rentetan sebuah filem ditonton dan sekadar gurauan bersama rakan-rakan sahaja,” katanya.
Tambah Zainol, semakan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Saringan ujian air kencing ke atas tiga individu berkenaan didapati negatif penyalahgunaan dadah. Kes dirujuk ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Terdahulu, video perbualan empat individu terbabit tular dalam platform TikTok selepas dua daripada mereka didakwa menunjukkan satu plastik berwarna lut sinar dan botol air didakwa peralatan menghisap dadah.


































