GEORGE TOWN: Kerajaan kini sedang berhubung rapat dengan negara-negara ASEAN yang lain bagi mendapatkan informasi berkaitan situasi terkini jangkitan Mpox atau cacar monyet di negara-negara berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pada masa yang sama, semua agensi terlibat juga diarah untuk memantau dengan rapi pintu-pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan kesihatan semua pihak terjamin.
“Kita sedang berhubung dengan semua negara ASEAN dan kita memang mengawal sepenuhnya pintu masuk serta memantau jangkitan yang sedang berlaku di negara jiran.
“Setakat ini, kita tidak mempunyai sebarang halangan (untuk keluar masuk ke negara-negara ini) buat masa ini. Kenyataan rasmi telah dikeluarkan oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan kita telah menyediakan panduan, terutama sekali kaedah rawatan yang boleh digunakan untuk merawat Mpox,” katanya di sini. hari ini.
Terdahulu, Lukanisman merasmikan Persidangan Saintifik Kesihatan Sempadan Malaysia-Thailand kali ke-34 di Batu Ferringhi, dekat sini. Hadir sama Penyelia Kesihatan Wilayah 12, Kementerian Kesihatan Awam, Thailand, Dr. Sombat Phadungvitvatthana.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, kerajaan juga sedang memantau rapi situasi jangkitan di Eropah dan akan mengemas kini maklumat mengenainya kepada orang ramai dari semasa ke semasa.
“Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), Menteri Kesihatan dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau rapi keadaan, dan dari semasa ke semasa, kita akan mengeluarkan kenyataan mengenai Mpox. Kita juga tidak mahu mencetuskan situasi panik dalam kalangan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua langkah berjaga-jaga telah diambil oleh agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), terutama sekali di pintu masuk negara dan juga di sempadan.
“Setakat ini, proses yang kita lakukan adalah sama seperti semasa pandemik. Jika terdapat sesuatu yang kita kesan terutama di pintu masuk sempadan, kita telah menyediakan garis panduan mengenainya,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai keperluan untuk rakyat negara ini mendapatkan vaksin Mpox, Lukanisman berkata bahawa KKM akan mengkaji sepenuhnya keperluan tersebut.
Beliau juga menyatakan bahawa, sehingga kini, Malaysia tidak mempunyai sebarang jangkitan baharu yang melibatkan Mpox.